WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk menyekat penghantaran cip AI daripada syarikat seperti Nvidia ke Malaysia dan Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk membanteras penyeludupan semikonduktor yang disyaki masuk ke China.
Draf peraturan daripada Jabatan Perdagangan bertujuan untuk menghalang China, yang diharamkan oleh Washington daripada membeli pemproses AI canggih Nvidia, daripada memperoleh komponen tersebut melalui perantara dua negara Asia Tenggar itu.
Peraturan tersebut masih belum dimuktamadkan dan boleh berubah, menurut sumber yang enggan dinamakan.
Sumber itu mendakwa, pegawai Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk memadankan kawalan terhadap Malaysia dan Thailand dengan pemansuhan rasmi sekatan global di bawah peraturan penyebaran AI.
Kerangka peraturan yang diperkenalkan pada penghujung penggal Presiden Joe Biden, mendapat bantahan daripada sekutu AS dan syarikat teknologi, termasuk Nvidia.
AS dijangka terus mengekalkan sekatan terhadap eksport semikonduktor yang dikenakan ke atas China sejak 2022 dan diperketatkan beberapa kali.
Sekatan itu turut melibatkan lebih 40 negara lain di bawah langkah yang diperkenalkan pada 2023 oleh pentadbiran Biden bagi menangani isu penyeludupan serta meningkatkan ketelusan dalam pasaran utama.
Peraturan itu akan menjadi langkah rasmi pertama dalam usaha Trump untuk merombak pendekatan penyebaran AI yang digariskan oleh pendahulunya, selepas Jabatan Perdagangan pada Mei lalu mengumumkan untuk memperkenalkan strategi baharu yang ‘berani dan inklusif’.
Namun, menurut sumber, draf semasa masih belum menyeluruh dan tidak menyentuh isu kritikal seperti syarat keselamatan penggunaan cip AS di pusat data luar negara.
Setakat ini, belum jelas sama ada pentadbiran Trump akan mengawal penghantaran cip AI ke lebih banyak negara, selain Malaysia dan Thailand.


































