Dr. Joachim (kanan) menyantuni Ketua -ketua Parti Komponen dalam GRS yang turut hadir iaitu, Parti Solidariti Tanah Airku (Starsabah) (dua dari kiri), Parti Cinta Sabah (kiri) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kota Marudu (dua dari kanan).
KOTA MARUDU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua ahli parti agar bekerja lebih gigih dan mengukuhkan kerjasama demi mempertahankan kerusi-kerusi PBS, termasuk di kawasan Tandek.
Beliau turut meminta sokongan padu daripada rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kemenangan calon PBS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Dr. Joachim (lima dari kiri) menerima cendera mata daripada Hendrus sambil disaksikan ahli PBS yang lain.
“Saya ingin tegaskan, kita mahu membantu orang kita sendiri. Sebagai anak jati Sabah, yang penting ialah kita memperkasakan parti tempatan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS N.7 Tandek di Dewan Terbuka Pekan Tandek, di sini kelmarin.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kerjasama dengan parti-parti dari Semenanjung adalah penting, tetapi keutamaan harus diberikan kepada kestabilan dan kepimpinan politik di peringkat negeri terlebih dahulu dan kerjasama itu wujud hanya apabila parti lokal (GRS) yang mengemudikan politik negeri ini.
“Sabah adalah tanah tumpah darah kita. Kita lebih memahami dan mampu menyelesaikan masalah secara lebih inklusif dan menyeluruh di negeri ini,” tegasnya.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan gimik perasmian pelancaran gerakan belia dan beliawanis PBS Bahagian Tandek bagi tahun 2025.
Beliau turut mengingatkan semua ahli PBS bahawa mereka adalah tulang belakang parti dan menyeru agar seluruh jentera bangkit memperjuangkan aspirasi PBS di seluruh Sabah.
“Kita perlu bekerja keras demi parti dan saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian PBS Tandek yang juga ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding atas jemputan untuk merasmikan mesyuarat tersebut.

Dr. Joachim (duduk, sebelah kiri) bergambar kenangan bersama Hendrus serta semua ahli PBS dan wakil daripada parti komponen GRS (pemerhati) yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tandek kali ke-40 itu.
Hadir sama ialah para Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Christoper Mandut bersama Exco Pemuda, Exco Wanita, wakil-wakil parti komponen dalam GRS; Ketua-Ketua Bahagian dan juga Pengerusi Tetap mesyuarat, Fredolin Totin Bangon.


































