Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon bersama Mark Carney sempena lawatan rasminya ke Paris, Perancis.
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan agar Kanada mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara serta memperluas pertukaran pelbagai hala yang lebih erat dan bermakna.
Perkara itu disampaikan Anwar kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menerusi panggilan telefon sempena lawatan rasminya ke Paris, Perancis.
“Saya berharap Kanada boleh mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia. Ini sejajar dengan prinsip keterbukaan dan hubungan akrab yang sedia terjalin antara negara-negara Komanwel,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Carney atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada baru-baru ini.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala meliputi bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
“Saya menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada yang disifatkan sebagai simbol kerjasama kukuh antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga, selain berpotensi memacu peralihan tenaga dan inisiatif hijau pada masa depan,” katanya.
Anwar berkata, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi iltizam dalam memperjuangkan perdagangan bebas dan inklusif berasaskan multilateralisme.
“Kami turut menekankan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN–Kanada serta berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Kanada dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat bersama rantau dan masyarakat global,” katanya.
Perdana Menteri turut menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai langkah mempererat hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.






























