KAHERAH: Sekumpulan ahli arkeologi menemukan tinggalan sebuah kota Mesir purba yang telah lama hilang, dipercayai berusia lebih 2,500 tahun, di kawasan Delta Sungai Nil, kira-kira 10 kilometer di selatan Tanis.
Menurut Utusan Malaysia, kota purba yang dikenali sebagai Imet itu dahulunya merupakan pusat penting kegiatan keagamaan dan ekonomi, khususnya sekitar abad ke-4 Sebelum Masihi (SM), ketika tempoh Pemerintahan Akhir Mesir.
Penemuan penting itu diumumkan oleh pasukan arkeologi Universiti Manchester yang diketuai oleh Dr. Nicky Nielsen, dengan kerjasama Universiti Sadat City, selepas sisa-sisa kota berkenaan dikesan melalui teknologi penderiaan jauh dan imej satelit resolusi tinggi.
Menurut Dr. Nielsen, pasukannya menemui struktur-struktur besar termasuk gudang simpanan bijirin, kandang haiwan dan bangunan upacara yang digunakan untuk menyembah dewi Mesir berkepala ular tedung, Wadjet, iaitu dewi pelindung Delta Nil malah, pasukan itu turut mendedahkan kewujudan rumah bertingkat pelbagai tingkat atau ‘tower houses’ yang dibina untuk menampung pertumbuhan pesat penduduk kota tersebut.
“Ia membuktikan bahawa Imet merupakan sebuah kota yang pesat membangun dan padat, lengkap dengan infrastruktur bandar yang rumit,” katanya lagi.
Kota Imet dipercayai telah dihuni sejak Dinasti ke-18 Mesir sekitar 1550 SM, dan pernah menjadi ibu kota bagi satu daerah pentadbiran yang dikenali sebagai Nome namun kemuncak kegemilangannya dicapai pada tempoh Pemerintahan Akhir, sekitar abad ke-4 SM, sebelum wilayah itu jatuh ke tangan Alexander the Great pada tahun 332 SM.
Proses penggalian yang dijalankan telah menemui kawasan berlantai batu yang luas dipercayai digunakan untuk memproses bijirin, selain kandang haiwan dan bangunan keagamaan berskala besar sekaligus menggambarkan ekonomi tempatan yang aktif dan kompleks.
Salah satu struktur keagamaan yang paling menonjol ialah sebuah bangunan besar berlantaikan plaster batu kapur dan bertiang besar, dipercayai dibina semasa kemuncak zaman Ptolemaik pertengahan.
Bangunan itu terletak di atas laluan perarakan upacara yang menghubungkan pintu masuk Kuil Wadjet ke pintu gerbang tembok lumpur yang mengelilinginya namun menjelang akhir abad ke-4 SM, laluan itu didapati tidak lagi digunakan, satu petunjuk perubahan besar sedang berlaku dalam landskap keagamaan Mesir ketika itu.
Antara penemuan artifak lain yang menarik termasuklah sistrum iaitu alat muzik tradisional yang diperbuat daripada tembaga dan diukir dengan wajah dewi Hathor, dipercayai digunakan dalam upacara kuil.
Turut ditemui ialah ushabti faience hijau iaitu patung pengebumian yang dipercayai berasal dari tempoh 664 hingga 525 SM serta batu ukiran bergambar dewa kanak-kanak Harpocrates bersama simbol perlindungan.
































