WASHINGTON: Pakej pemotongan cukai Presiden Donald Trump melepasi halangan terakhir di Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam, apabila Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan meluluskan rang undang-undang besar itu dengan undian tipis 218-214.
Menurut Utusan Malaysia, kelulusan itu membolehkannya diserahkan kepada Trump untuk ditandatangani menjadi undang-undang.
Undian tersebut menandakan kemenangan besar bagi Trump, yang mana dana akan digunakan untuk menyokong tindakan kerasnya terhadap imigresen, menjadikan pemotongan cukainya pada 2017 kekal dan memberikan pengecualian cukai baharu yang dijanjikan semasa kempen 2024.
Namun, rang undang-undang itu turut memotong peruntukan bagi program kesihatan dan keselamatan makanan serta membatalkan puluhan insentif tenaga hijau.
Rang undang-undang itu dijangka menambah sebanyak AS$3.4 trilion (RM12.6 trilion) kepada jumlah hutang negara yang kini berjumlah AS$36.2 trilion (RM152.8 trilion), menurut Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap kos tinggi rang undang-undang setebal 869 muka surat itu serta kesannya terhadap program kesihatan, majoriti ahli Republikan tetap menyokong, dengan dua daripada 220 wakil mereka di Dewan Perwakilan mengundi menentang.
Rang undang-undang berkenaan sebelum ini diluluskan oleh Senat yang turut dikuasai Republikan dengan margin paling tipis.
Republikan mendakwa, rang undang-undang itu akan menurunkan cukai untuk rakyat Amerika di semua peringkat pendapatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Namun, semua ahli Demokrat di Kongres mengundi menentang, dengan menyifatkannya sebagai bentuk kelebihan kepada golongan kaya yang akan menyebabkan berjuta-juta rakyat hilang perlindungan insurans kesihatan.
























