ROM: Itali mengharamkan kerja luar bangunan pada waktu paling panas ketika tengah hari di lebih separuh wilayah negara itu susulan gelombang haba melampau yang melanda sebahagian besar Eropah dan memecahkan rekod suhu bulan Jun di Sepanyol dan Portugal.
Menurut Utusan Malaysia, gelombang panas luar biasa ini dipercayai meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa. Di Tarragona, wilayah Catalonia, Sepanyol, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat strok haba selepas ditinggalkan dalam kereta pada petang Selasa.
Di Palermo, Sicily, seorang wanita berusia 53 tahun rebah dan meninggal dunia ketika berjalan di kaki lima pada Isnin. Mangsa dilaporkan mempunyai masalah jantung manakala seorang lelaki berusia 70 tahun dilaporkan lemas di sebuah pusat peranginan berhampiran Turin apabila cuaca panas melampau bertukar menjadi ribut dan banjir kilat.
Kemasukan pesakit ke unit kecemasan hospital di beberapa bahagian Itali meningkat antara 15 hingga 20 peratus dalam beberapa hari kebelakangan ini kebanyakannya melibatkan warga emas yang mengalami dehidrasi.
Di tengah amaran gelombang haba yang juga mencetuskan kebakaran hutan dan pemindahan puluhan ribu penduduk di Turkiye, beberapa sekolah di Perancis turut ditutup. Kesatuan guru memberi amaran bilik darjah tidak lagi selamat untuk murid dan tenaga pengajar kerana terlalu panas.
Pelancong turut terkesan apabila beberapa tarikan pelancongan ikonik terpaksa ditutup. Bahagian atas Menara Eiffel di Paris ditutup apabila suhu dijangka mencecah 38 darjah Celsius manakala monumen Atomium yang terkenal di Brussels ditutup lebih awal apabila suhu menghampiri 37 darjah Celsius.
Di Itali, pusat industri utama negara itu di wilayah Lombardy dan Emilia-Romagna mengumumkan larangan kerja di luar bangunan dari pukul 12.30 tengah hari hingga 4 petang.
Langkah ini menjadikan jumlah wilayah yang melaksanakan larangan serupa kepada 13 merangkumi kawasan dari Liguria di barat laut hingga ke Calabria dan Sicily di selatan.
Langkah itu susulan nasihat kesatuan sekerja selepas kematian tragis Brahim Ait El Hajjam, seorang pekerja binaan berusia 47 tahun yang rebah dan meninggal dunia ketika bekerja di tapak pembinaan berhampiran Bologna, ibu negeri Emilia-Romagna, pada Isnin.
































