WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dalam satu kenyataan luar biasa di media sosial mendakwa dirinya telah menjadikan AS sebagai negara paling hebat di dunia dengan beliau ‘benar tentang segalanya’ dan menyeru Parti Republikan supaya meluluskan rang undang-undang (RUU) cukai dan perbelanjaan yang digelar One Big Beautiful Bill.
Menurut Utusan Malaysia, RUU tersebut yang menurut Trump akan menjadi satu daripada undang-undang paling berjaya dalam sejarah dijadual dibentangkan semula di Dewan Perwakilan pada Rabu selepas berjaya melepasi halangan di Senat dengan undian penentu oleh Naib Presiden JD Vance selepas lebih 24 jam perbahasan.
“Pertumbuhan ekonomi yang telah bermula pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini akan menjadi bukti kejayaan besar RUU ini.
“Republikan, jangan biarkan Demokrat kiri radikal memperlekehkan anda. Kita pegang segalanya dan akan menggunakannya,” tulis Trump dalam catatan panjang di platform Truth Social.
“Tiada siapa bercakap tentang PERTUMBUHAN, yang akan menjadi sebab utama mengapa RUU ini akan menjadi salah satu yang paling berjaya. PERTUMBUHAN ini telah pun bermula pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” tambahnya.
Trump turut mendakwa bahawa ratusan bilion dolar hasil tarif kini memenuhi perbendaharaan negara dan menganggapnya sebagai rekod baharu.
“Kita sedang keluar daripada kekacauan yang ditinggalkan Joe Biden dan Demokrat. Dan ia sedang berlaku lebih pantas daripada jangkaan sesiapa,” tulisnya dalam sindiran kepada pendahulunya, Biden.
Meskipun RUU itu mencetuskan ketegangan dalam kalangan Republikan termasuk perbalahan terbuka dengan jutawan Elon Musk, Trump tetap yakin bahawa negara itu akan menjana kekayaan tahun ini, lebih banyak daripada mana-mana pesaing tetapi hanya jika RUU tersebut diluluskan.
“Seperti yang mereka kata, Trump memang sentiasa betul dan ini adalah ramalan paling mudah saya setakat ini,” akhiri Trump dengan penuh keyakinan.


























