Rony Sundang
TUARAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli hari ini mengecam laporan yang disiarkan oleh portal Malaysiakini berhubung dakwaan skandal perlombongan yang mengaitkan nama Datuk Seri Jahid Jahim dan menyifatkannya sebagai fitnah jahat bermotifkan politik.
Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang juga Penolong Setiausaha Bahagian PBS Tamparuli, Rony Sundang, dalam satu kenyataan menegaskan sokongan padu kepada DSP Jahid yang juga Ketua Bahagian PBS Tamparuli, serta Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak, yang turut terpalit dalam laporan tersebut.
“Tuduhan yang kononnya mengaitkan DSP Jahid dengan penerimaan wang sebanyak RM150,000 bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan fakta dan logik undang-undang,” kata Rony.
Beliau menjelaskan bahawa DSP Jahid bukanlah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perlombongan, selain fakta bahawa tiada satu pun lesen perlombongan pernah dikeluarkan di kawasan Tamparuli.
“Maka, segala tuduhan ini adalah rekaan semata-mata yang jelas bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” tegasnya.
Rony menyokong penuh langkah DSP Jahid untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas itu, dan menyifatkan fitnah tersebut sebagai satu usaha terancang mencemarkan nama baik pemimpin PBS yang berprinsip.
“Ini bukan amaran kosong, tetapi mesej jelas – jangan cabar kebenaran. Pemimpin seperti DSP Jahid yang telah berkhidmat dengan bersih dan konsisten, berhak mempertahankan maruahnya daripada tohmahan tidak berasas,” katanya.
Rony turut menyeru semua pejuang PBS – daripada ketua cawangan hinggalah ke akar umbi – agar tidak terpengaruh dengan permainan persepsi yang cuba menggugat perpaduan parti.
“PBS dibina atas semangat setiakawan, disiplin dan prinsip. Kita mesti berdepan cabaran ini dengan kekuatan perpaduan dan politik matang,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Rony turut menegur sikap segelintir media yang menurutnya gagal menjalankan tanggungjawab kewartawanan secara profesional dan berimbang.
“Portal berita tidak seharusnya bertindak sebagai ‘mahkamah umum’ yang menghukum seseorang melalui laporan berat sebelah dan tanpa memberi ruang pembelaan. Ini bukan sahaja tidak beretika, tetapi merosakkan prinsip keadilan serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya.
Beliau menyeru media agar memainkan peranan membina dalam mendidik masyarakat dan menyuburkan budaya demokrasi yang matang, bukan menyemai hasutan demi klik dan sensasi.
Sebagai penutup, Rony menegaskan bahawa Sabah memerlukan pemimpin yang berprinsip, bukan individu yang sanggup menabur fitnah demi kepentingan politik sempit.
“Fitnah bukan modal politik. Rakyat Sabah hari ini semakin celik maklumat dan menuntut politik berasaskan dasar, bukan drama dan serangan peribadi,” tegas beliau.
































