Tangkap layar video tular memaparkan tiga buah kereta menghalang kenderaan lain di Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Pedas-Linggi dekat Rembau.
REMBAU: Seorang ejen tarik kereta ditahan, tengah malam tadi, susulan video tular memaparkan tiga buah kenderaan menghalang laluan di Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Pedas-Linggi, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain, berkata suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan beberapa tangkapan lain akan dibuat susulan kejadian tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek adalah ejen tarik kereta. Mereka dipercayai menahan kenderaan kerana mahu menarik sebuah kereta.
“Kami telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu dengan cuai atau melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya); Seksyen 341 KK (menghalang laluan orang awam) serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (meletak atau mengendalikan kenderaan dengan cara yang menyusahkan pengguna jalan raya),” katanya.
Semalam, tular video berdurasi 43 saat di media sosial memaparkan tiga buah kenderaan yang didakwa menghalang kenderaan di lebuh raya berkenaan.




























