Fredian Gan
KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan tampil menyatakan sokongan penuh kepada Pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan kontroversi lesen perlombongan di Sabah.
Menyifatkan laporan yang disiarkan Malaysiakini sebagai sebahagian daripada “kempen fitnah yang disusun dan bermotif politik”, Fredian berkata tuduhan tersebut bertujuan melemahkan kepimpinan Sabah dan mencemarkan nama baik PBS.
“Saya berdiri teguh bersama Dr Joachim. Dakwaan tidak berasas ini langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh dan jelas merupakan usaha terancang untuk menjatuhkan kepimpinan PBS. Dr Joachim mempunyai rekod perkhidmatan awam, integriti dan ketelusan yang kukuh,” katanya.
Fredian turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan politik yang semakin meluas hingga melibatkan bekas Menteri Persekutuan dan tokoh lama PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
“Amat membimbangkan apabila seorang negarawan dihormati seperti Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili—yang telah berkhidmat puluhan tahun dalam perkhidmatan awam—turut dikaitkan tanpa asas kukuh. Ini dilihat sebagai serangan terarah bukan sahaja kepada individu tetapi juga terhadap asas kepimpinan PBS dan tadbir urus di Sabah.”
Beliau juga menyatakan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim, yang turut dinamakan dalam laporan media tanpa bukti yang sahih.
Fredian menyeru semua ahli PBS, rakan dalam gabungan GRS dan rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan terus fokus kepada matlamat yang lebih besar.
“Ini bukan masa untuk terpengaruh dengan spekulasi atau tajuk berita sensasi. PBS tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dan tidak akan terpesong dengan cubaan untuk memecahbelahkan kami.”
Fredian turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus terhadap isu ini.
“Biarlah SPRM menjalankan tugas mereka. Kami alu-alukan sebarang siasatan yang sah mengikut undang-undang—tetapi menolak naratif yang dimanipulasi secara politik. Sehingga dibuktikan bersalah, pemimpin kami wajar diberikan hak untuk dianggap tidak bersalah.”
Fredian juga menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang menyifatkan kontroversi ini sebagai usaha terancang untuk menggugat Kerajaan Negeri GRS menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
































