JAKARTA: Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut, 38 hilang dan 23 terselamat selepas sebuah feri karam dalam perjalanan ke pulau peranginan Bali, Indonesia menurut pihak berkuasa tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan selepas feri yang membawa 65 penumpang tersebut karam sebelum tengah malam Rabu ketika dalam pelayaran dari pulau Jawa ke destinasi pelancongan terkenal itu.
“23 berjaya diselamatkan, 4 maut,” kata Ketua Polis Banyuwangi, Rama Samtama Putra, kepada AFP. Feri tersebut berlepas dari daerah Banyuwangi, Jawa Timur sebelum karam 25 minit kemudian.
Presiden Prabowo Subianto yang kini berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi telah mengarahkan tindakan kecemasan segera, menurut kenyataan Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya. Beliau berkata kejadian tersebut berpunca daripada cuaca buruk.
Agensi penyelamat di Surabaya dalam kenyataan awalnya menyebut bahawa 61 orang masih hilang dan hanya empat telah diselamatkan ketika itu.
Menurut data manifest feri tersebut, ia membawa 53 penumpang dan 12 kru, serta 22 kenderaan termasuk 14 buah lori.
Pasukan penyelamat dengan bot kembung segera dikerahkan dan sebuah kapal lebih besar dihantar dari Surabaya untuk membantu usaha mencari mangsa. Empat daripada mangsa terselamat berjaya menggunakan bot penyelamat feri dan ditemui awal pagi Khamis.
Pihak berkuasa masih menyiasat kemungkinan terdapat lebih ramai individu dalam feri berbanding jumlah dalam manifest. Laluan feri dari Jawa ke Bali yang biasanya mengambil masa kira-kira satu jam sering digunakan oleh mereka yang merentas antara kedua-dua pulau menggunakan kenderaan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada terdapat warga asing dalam kalangan penumpang feri tersebut.
Kemalangan laut merupakan kejadian biasa di Indonesia berikutan standard keselamatan yang longgar dan faktor cuaca buruk.































