ROM: Kementerian Kesihatan Itali memberi amaran kepada penduduk dan pelancong mengenai gelombang haba, dengan mengeluarkan amaran merah untuk 21 bandar utama hujung minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, amaran tertinggi itu melibatkan bandar-bandar termasuk ibu negara Rom, pusat ekonomi Milan dan juga Venice, lokasi perkahwinan mewah jutawan Amazon, Jeff Bezos.
Menurut kementerian itu, suhu dijangka mencecah sehingga 37 darjah Celsius di beberapa kawasan.
Susulan itu, kementerian tersebut menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah antara pukul 11 pagi hingga 6 petang jika tiada keperluan, dan mencari perlindungan di tempat awam berhawa dinggin.
Di Venice, suhu dijangka mencecah 32 darjah Celsius pada Sabtu, namun tahap kelembapan akan menyebabkan suhu dirasai mencecah sekitar 36 darjah Celsius.
Di Florence, suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah Celsius pada Sabtu, manakala Rom, Milan dan Naples pula akan merekodkan suhu setinggi 36 darjah Celsius pada Ahad.
Amaran itu dikeluarkan susulan cuaca panas melampau yang melanda Itali sejak beberapa hari lalu, termasuk di Rom, di mana pelancong didenda kerana cuba menyejukkan badan di dalam pancutan air di kawasan bersejarah.
Pihak berkuasa bandaraya menempatkan ambulans dan petugas perubatan di lokasi tumpuan pelancong seperti Colosseum, yang masih menjadi tarikan utama meskipun negara dilanda gelombang haba.
Saintis berkata, gelombang haba ekstrem merupakan petunjuk jelas pemanasan global, dan fenomena itu dijangka menjadi lebih kerap, berpanjangan dan teruk pada masa akan datang.
Tahun 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas di dunia, manakala tahun ini pula diramalkan akan berada dalam tiga teratas.




























