PRAGUE: Seorang lelaki bersama ibu bapanya menyamar sebagai profesional pergigian dan menjalankan puluhan prosedur rawatan akar gigi dan tampalan, hanya berpandukan tutorial dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, kos rawatan pergigian yang tinggi sering memaksa sesetengah individu mencari alternatif lebih murah, terutama apabila sedang menanggung kesakitan dan kekurangan wang.
Itulah realiti yang berlaku di Havlickuv Brod, sebuah bandar kira-kira 100 kilometer (km) ke tenggara Prague, apabila satu keluarga menjalankan rawatan pergigian secara haram selama dua tahun.
Tanpa sebarang latihan perubatan, mereka menawarkan perkhidmatan pergigian murah di sebuah klinik tidak berlesen, berpandukan hanya kepada tutorial di internet.
Antara prosedur yang dilakukan termasuklah mencabut gigi, memberi bius setempat, rawatan akar gigi dan tampalan ke atas puluhan pesakit.
Kegiatan mereka terbongkar apabila polis menjalankan siasatan awal tahun ini.
“Seorang lelaki berusia 22 tahun menyamar sebagai doktor gigi walaupun tidak mempunyai pengetahuan profesional.
“Seorang wanita yang bekerja dalam sektor kesihatan memberikan ubat bius serta membekalkan bahan pergigian lain yang boleh diaksesnya seperti tampalan, serbuk pembersih, gam, bahan acuan dan lain-lain,” menurut kenyataan polis.
Ibu lelaki terbabit yang berusia 50-an bekerja sebagai jururawat dan dipercayai menyediakan bahan diperlukan untuk prosedur pergigian, manakala bapanya yang berumur 44 tahun menghasilkan peranti prostetik untuk pesakit.
Sepanjang dua tahun operasi klinik palsu itu, polis menganggarkan tiga beranak terbabit memperoleh sekitar AS$185,500 (RM784,294).
Mereka ditahan awal bulan ini dan didakwa atas kesalahan menjalankan perniagaan haram, pengubahan wang haram, cubaan mencederakan, pengedaran ubat-ubatan dan kecurian.
Jika disabitkan bersalah, mereka berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun.
Kes itu bukan yang pertama melibatkan penyamaran sebagai doktor gigi.
Presiden Dewan Pergigian Czech, Roman Smucler, mengakui pihaknya menerima kira-kira 10 laporan doktor gigi palsu setiap tahun.




























