KAHERAH: Sebuah penerbangan Saudi Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah selepas pengarah kabin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika pesawat dalam perjalanan dari Jeddah ke London.
Menurut Utusan Malaysia, sumber penerbangan dan keselamatan memberitahu, menara kawalan Kaherah menerima panggilan kecemasan daripada kapten pesawat, sekali gus memaksa ia mengubah haluan dan mendarat segera di lapangan terbang terdekat untuk menangani situasi tersebut.
Dalam kenyataan rasmi di platform X, Saudi Airlines mengesahkan pengarah kabin, Mohsen bin Saeed Al-Zahrani, meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan semasa menjalankan tugas di dalam pesawat.
Syarikat penerbangan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.
Pendaratan cemas berjaya dikendalikan oleh pembantu juruterbang.
Pasukan perubatan menaiki pesawat sebaik tiba dan mengesahkan Al-Zahrani meninggal dunia sebelum pesawat mendarat.
Jenazah beliau dihantar ke hospital berdekatan, manakala Pendakwa Ryaa Mesir memulakan siasatan bagi menolak sebarang unsur jenayah.
Penerbangan tersebut meneruskan perjalanan ke London selepas semua prosedur perundangan dan perubatan diselesaikan.
Tiada butiran lanjut diberikan mengenai punca sebenar kematian atau identiti mangsa selain kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.




























