WASHINGTON: Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) menghubungi syarikat kenderaan elektrik, Tesla susulan rakaman video tular yang didakwa menunjukkan roboteksi baharu syarikat itu melanggar undang-undang jalan raya.
Menurut Utusan Malaysia, kenderaan tanpa pemandu yang dikatakan sebagai teras masa depan syarikat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, menjalani ujian pertama di jalan awam di Austin, Texas pada Ahad lalu.
Beberapa rakaman video yang dikongsi secara meluas dalam talian memaparkan tingkah laku memandu yang dikatakan tidak menentu, termasuk insiden kenderaan berhenti secara mengejut dan memasuki lorong yang salah, walaupun terdapat pemandu keselamatan di tempat duduk penumpang.
Dalam satu kenyataan rasmi, NHTSA memaklumkan pihaknya sedang meneliti insiden berkaitan dan sedang berhubung dengan pengeluar bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Walaupun projek roboteksi dianggap penting oleh Musk untuk masa depan Tesla, pelancarannya pada Ahad lalu dilakukan secara sederhana di mana hanya sekumpulan kecil penganalisis, pempengaruh dan pemegang saham terpilih dijemput untuk mencuba perkhidmatan itu melalui tempahan berbayar.
Dalam satu hantaran di platform X, Musk mengucapkan tahniah kepada pasukan kecerdasan buatan dan reka bentuk cip Tesla, menyifatkan pelancaran itu sebagai kemuncak kepada usaha selama sedekad.
Namun, rakaman video di media sosial memperlihatkan kenderaan tersebut masih bergelut dalam situasi pemanduan sebenar antaranya termasuk kejadian sebuah roboteksi berhenti secara tiba-tiba apabila melalui sebuah kereta polis yang diletakkan di tepi jalan.
Setakat ini, pelaksanaan projek tersebut masih berskala kecil dengan hanya 12 unit roboteksi beroperasi.
Tesla memaklumkan kenderaan itu tidak akan digunakan dalam cuaca buruk, tidak akan merentasi simpang yang kompleks, serta tidak dibenarkan membawa penumpang di bawah umur 18 tahun.
Antara syarikat yang telah jauh ke hadapan dalam teknologi teksi tanpa pemandu ialah Waymo milik syarikat induk Google, Alphabet, serta Zoox milik Amazon di mana kedua-duanya sudah menawarkan perkhidmatan teksi autonomi di Austin, San Francisco dan Phoenix.
Beberapa negara lain termasuk China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura juga membenarkan kenderaan tanpa pemandu beroperasi secara meluas, namun kajian masih dijalankan untuk menentukan tahap keselamatan sebenar berbanding pemanduan manusia.
Berbeza dengan pesaingnya, Tesla menggunakan pendekatan berasaskan kamera yang dipasang dalam kenderaan tanpa menggunakan radar atau sensor luaran, satu pendekatan yang dilihat lebih murah dan berpotensi menarik lebih ramai pengguna pada masa depan.
Walau bagaimanapun, pendekatan ini terus menjadi persoalan, khususnya dari sudut keselamatan di mana NHTSA menjelaskan di bawah undang-undang semasa, agensi itu tidak meluluskan terlebih dahulu sebarang teknologi baharu.
Sebaliknya, pengeluar bertanggungjawab untuk memastikan setiap kenderaan mematuhi piawaian keselamatan ketat yang ditetapkan, serta akan disiasat jika terdapat sebarang insiden yang berpotensi melibatkan kecacatan keselamatan.




























