Dr. Joachim (empat dari kiri) bergambar kenangan dengan semua yang hadir dalam majlis itu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam meluangkan masa bersama penduduk dari Mukim Karagasan yang merangkumi tujuh buah kampung dalam satu majlis komuniti di Dewan Mini Kampung Karagasan, di sini, kelmarin (24 Jun).
Beliau merasmikan sambutan Ramai Kaamatan 3.0, Hari Guru dan Hari Keluarga anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Karagasan.
Dr. Joachim merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua PIBG, Eddy Batis serta pihak sekolah atas kerjasama dan komitmen menganjurkan program berkenaan yang disifatkan sebagai satu wadah penting mempererat hubungan antara masyarakat, sekolah dan kepimpinan setempat.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyempurnakan perasmian majlis itu sambil disaksikan oleh Jaminus (dua dari kiri) serta yang lain.
“Aktiviti seumpama ini sangat baik kerana ia menjadi ruang untuk kita berkumpul bersama. Khususnya sambutan Ramai Kaamatan 3.0 ini, ia memberi peluang kepada kita menonjolkan keunikan etnik suku Tinagas di Ranau,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program seperti ini juga dapat menyatupadukan masyarakat tempatan atau dalam bahasa Dusun, ‘misompuru’.
Dalam ucapannya, Dr. Joachim turut memberikan penghargaan kepada para guru yang hadir dan berperanan besar dalam mendidik generasi muda.
“Tanpa guru, kita tidak akan berada di mana kita berada hari ini,” katanya sambil menasihati murid-murid yang hadir agar menghormati dan mendengar nasihat para guru.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menerima cendera mata daripada Sabirin sambil disaksikan oleh Jaminus (kiri) dan yang lain.
Dr. Joachim juga memuji usaha Guru Besar SK Karagasan, Sabirin Asiri yang berjaya menggerakkan semula PIBG dan menyeru agar ibu bapa terus menyokong serta bekerjasama dengan pihak sekolah.
“Dengan kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah, saya percaya SK Karagasan mampu menjadi sekolah yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang; pemimpin-pemimpin masyarakat setempat termasuk Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), serta Ketua Anak Negeri (KAN).




























