Dr. Joachim tengah bergambar kenangan dengan belia Kg. Gusi bagi program pertandingan motosikal lasak (Motor cross) anjuran Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Kundasang yang diketuai oleh Khairol Majide Kalimin.
RANAU: Penduduk kampung disaran agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dewan mini yang disediakan Kerajaan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti komuniti, sukan dan riadah.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pembinaan dewan mini seperti di Kampung Gusi, Ulu Sugut merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Negeri untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Kalau kita bina satu bangunan tetapi tidak digunakan sepenuhnya, itu bermakna membazirkan peruntukan Kerajaan, sama ada dari Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Dr. Joachim (duduk, empat dari kiri) bergambar kenangan dengan Yubidi (duduk, empat dari kanan), Dounis (dua dari kanan) serta semua penduduk kampung yang hadir dalam majlis perasmian dewan mini baharu pada Isnin.
“Saya berharap dewan mini ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat untuk menganjurkan pelbagai program termasuk aktiviti belia. Saya dimaklumkan, satu pertandingan badminton telah diadakan lebih awal sebelum majlis perasmian dewan ini berlangsung,” katanya semasa merasmikan dewan mini kampung itu pada Isnin (23 Jun).
Kampung Gusi Ulu Sugut merupakan sebuah penempatan terpencil dalam kawasan DUN Kundasang yang terletak berhampiran sempadan daerah Beluran.

Dr. Joachim memberikan pertolongan cemas (first aid) dengan meneliti tangan seorang belia yang menyertai acara pertandingan motosikal lasak itu.
Terdahulu, dalam program berasingan, Dr. Joachim turut menyantuni golongan belia kampung berkenaan dengan merasmikan pelepasan pertandingan motosikal lasak (Motor Cross) di kampung berkenaan anjuran Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Kundasang yang diketuai oleh Khairol Majide Kalimin.
Turut hadir, Setiausaha Politik beliau, Yubidi Gompoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Kundasang, Dounis Sani; Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).




























