LONDON: Pengguna internet di seluruh dunia digesa segera menukar kata laluan dan meningkatkan tahap keselamatan digital masing-masing susulan pendedahan penyelidik terhadap skala kebocoran maklumat yang disifatkan amat membimbangkan.
Menurut laporan yang didedahkan oleh Cybernews, sebuah penerbitan dalam talian berasaskan teknologi, sebanyak 16 bilion rekod log masuk dikenal pasti terdedah dalam talian dipercayai diperoleh melalui perisian hasad dikenali sebagai infostealers serta beberapa kebocoran data sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, Cybernews mendedahkan mereka menemui 30 set data yang padat dengan maklumat sensitif, yang kebanyakannya diperoleh daripada infostealers.
Walau bagaimanapun, jumlah sebenar akaun atau individu yang terkesan sukar dipastikan kerana sebahagian besar data itu mungkin berulang.
Penyelidik keselamatan siber dari Ukraine, Bob Diachenko yang terlibat dalam pendedahan itu berkata, set data berkenaan telah dimuat naik ke pelayan jauh yang tidak selamat dan hanya terdedah buat seketika sebelum ia diturunkan.
“Saya sempat memuat turun kesemua fail dan akan berusaha untuk menghubungi pihak-pihak yang terdedah kepada kebocoran ini. Namun ia akan memakan masa kerana saiz datanya sangat besar,” katanya.
Cybernews menjelaskan antara perkhidmatan yang berpotensi terjejas termasuklah Facebook, Apple dan Google, namun tiada sebarang kebocoran data yang berpunca secara langsung daripada syarikat-syarikat tersebut setakat ini.
Cybernews turut memaklumkan struktur maklumat dalam set data berkenaan sangat teratur, iaitu mengandungi URL log masuk, diikuti nama pengguna dan kata laluan.