PETALING JAYA: Wanita yang mendakwa diajak mendaftar masuk ke hotel oleh anggota polis seperti tular di media sosial baru-baru ini di Ampang Jaya dekat sini sudah tampil memberi keterangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan berkaitan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.
Wanita terbabit juga sudah tampil untuk membantu siasatan, kita juga dalam tindakan menganalisa rakaman video tular berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan selari tatatertib ke atas suspek terlibat juga sedang dijalankan.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka siasatan tatatertib terhadap anggota polis itu selain dikeluarkan daripada penugasan sedia ada.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.