Hajiji melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Bukit Vor di Dewan Sri Putatan hari ini.
PUTATAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran di Kampung Petagas dan Bukit Vor yang berlaku pada 16 dan 17 Jun lalu, melibatkan seramai 74 mangsa daripada 28 keluarga.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor turun padang melawat dan menyampaikan bantuan itu kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa terjejas, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan hari ini.

Hajiji menyerahkan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada ketua isi rumah mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Bukit Vor di Dewan Sri Putatan hari ini.
Katanya, bagi meringankan beban mangsa, setiap KIR menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sebanyak RM1,000, bantuan Pusat Zakat Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebanyak RM1,000 dan bakul makanan serta RM300 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
“Bagi KIR yang rumah mereka musnah sepenuhnya, Kerajaan Negeri akan membina Rumah Mesra SMJ di tapak sedia ada, sementara bagi rumah yang sebahagian sahaja terbakar, Kerajaan akan membantu diantara RM5000 hingga RM10,000”, katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, terutama ketika berdepan musibah.

Hajiji menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Masawi.
Dalam dua insiden berasingan tersebut, seramai 74 orang mangsa daripada 28 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Kebakaran di Kampung Petagas melibatkan 20 KIR dengan 46 mangsa, manakala kebakaran di Bukit Vor melibatkan 8 KIR dengan 28 mangsa.
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Datuk Haji Sahari dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Haji Salleh.