Zakaria Shaaban
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket cetak pelekat palsu dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dalam dua serbuan berasingan di Lembah Klang.
Menurut Utusan Malaysia, dalam operasi itu, seorang lelaki dan wanita yang juga penjawat awam sebagai dalang sindiket ePLKS dengan bayaran RM11,000 dikenakan mereka kepada warga asing, ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama bermula 11 pagi kelmarin di dua lokasi di Jalan Ipoh oleh pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi dikerahkan ke premis dan membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis terbabit.
“Turut ditahan, seorang lelaki Pakistan yang berperanan sebagai ‘dalang utama’ sindiket. Semakan awal mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan turut menyita 13 pelekat palsu iaitu enam Visa Bangladesh, dua Visa India, dua Visa Amerika Syarikat (AS), satu Visa Indonesia, satu Visa Pakistan, satu pelekat muka hadapan Biometrik Pasport Bangladesh, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di dalam negara.
“Pelekat itu dijual dengan harga RM100 ke RM120 sekeping mengikut negara yang dicetak. Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seorang lelaki dan wanita warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, Imigresen turut menjalankan satu lagi operasi khas di dua lokasi sekitar Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.
Jelas beliau, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan dua wanita warga tempatan dipercayai ‘dalang utama’ serta lelaki warga tempatan.
“Siasatan awal mendapati wanita dan lelaki yang ditahan adalah penjawat awam berusia 40 hingga 43 tahun.
“Pasukan turut menyita sebanyak 101 pasport pelbagai negara terdiri daripada 74 pasport Sri Lanka, Myanmar (13), Vietnam (6), Indonesia (2), Ghana (2), India (1), Pakistan (1), Bangladesh (1), Syria (1), dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Menurutnya, turut disita sebuah Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket itu.
Jelas beliau, modus operandi sindiket adalah menguruskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kepada warganegara asing yang berada di Lembah Klang dan tidak memiliki pas.
“Semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud dalam sistem imigresen. Kadar bayaran dikenakan sebanyak RM11,000 setiap seorang dan dipercayai beroperasi sejak hujung tahun 2024.
“Kesemua warganegara tempatan yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.