JAKARTA: Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki, antara gunung paling aktif di Indonesia, meletus petang semalam dengan memuntahkan abu panas dan asap tebal setinggi 10,000 meter ke udara, sekali gus memaksa pihak berkuasa menaikkan amaran aktiviti gunung berapi ke tahap tertinggi.
Menurut Utusan Malaysia, gunung yang terletak di wilayah selatan-tengah negara itu mula menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti seismik sebelum letusan besar berlaku sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan).
Letusan tersebut menghamburkan asap pekat berwarna kelabu berbentuk cendawan dan dapat dilihat sejauh 150 kilometer.
Pihak berkuasa turut memperluas zon bahaya kepada radius lapan kilometer dari kawah gunung, susulan peningkatan risiko kepada penduduk setempat.
Video yang tular di media sosial memaparkan penduduk kampung menyaksikan letusan itu dengan penuh kebimbangan.
Menurut kenyataan rasmi Agensi Geologi Indonesia, gunung itu menghamburkan awan panas tebal setinggi 10,000 meter pada petang Selasa, selepas mencatatkan 50 gegaran dalam tempoh dua jam, jauh melebihi purata harian iaitu antara lapan hingga 10 gegaran.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun penduduk dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan aliran lahar sekiranya hujan lebat melanda kawasan terbabit.
Letusan terdahulu Gunung Lewotobi Laki-Laki pada November tahun lalu meragut sembilan nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Gunung berketinggian 1,584 meter itu terletak di Pulau Flores, wilayah Nusa Tenggara Timur dan merupakan sebahagian daripada rangkaian gunung berapi kembar, bersama Gunung Lewotobi Perempuan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan populasi lebih 270 juta, terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan kerap berdepan aktiviti seismik termasuk gempa bumi serta letusan gunung berapi serta mempunyai lebih 120 gunung berapi aktif.