WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan hubungan negaranya dengan China dalam keadaan cemerlang selepas dua hari rundingan dagang yang menyaksikan satu rangka persetujuan baharu dicapai.
Menurut Utusan Malaysia, persetujuan itu termasuk komitmen Beijing untuk membekalkan bahan mineral nadir bumi dan kelonggaran visa pelajar oleh Washington.
Dalam kenyataan menerusi platform Truth Social, Trump berkata, perjanjian antara AS dengan China sudah dimuktamadkan namun dokumen itu masih memerlukan kelulusan rasmi daripada Presiden China, Xi Jinping dan dirinya sendiri.
Menerusi persetujuan tersebut, China akan membekalkan mineral nadir bumi serta magnet penting kepada industri AS, manakala Washington pula bersetuju membenarkan pelajar China meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi AS, sekaligus menarik balik ancaman terdahulu untuk membatalkan visa mereka.
Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick berkata rundingan yang berlangsung di London berjalan dengan baik, dan menyatakan China akan mula meluluskan permohonan magnet dari syarikat-syarikat AS sejurus selepas pengesahan rasmi perjanjian dibuat.
Bagaimanapun, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent memberi amaran satu perjanjian yang lebih menyeluruh dengan China akan mengambil masa yang lebih panjang, sambil menegaskan ia hanya akan berlaku jika China membuktikan dirinya sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai.
Terma rundingan yang dicapai antara China dan AS menumpukan kepada sektor-sektor penting seperti bahan nadir bumi dan pendidikan.
Terdahulu, Washington menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan eksport bahan nadir bumi oleh Beijing yang amat penting kepada pembangunan teknologi seperti kenderaan elektrik, turbin angin dan peralatan ketenteraan.
China bersetuju melonggarkan peraturan pelesenan eksport untuk tempoh enam bulan, memberikan kelebihan rundingan kepada Beijing dalam fasa seterusnya.
Kadar tarif dalam perjanjian semasa kekal tidak berubah iaitu barang AS yang memasuki China masih dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, manakala eksport China ke AS dikenakan kadar efektif sebanyak 55 peratus termasuk langkah baharu dan terdahulu.
Perjanjian ini menyusuli gencatan tarif 90 hari yang dimeterai di Geneva bulan lalu, yang menyaksikan pengurangan tarif daripada 145 peratus kepada 55 peratus bagi barang China dan daripada 125 peratus ke paras semasa bagi barangan AS.






























