COPENHAGEN: Lembaran ais di Greenland mencair 17 kali ganda lebih pantas berbanding purata sebelumnya susulan gelombang haba yang melanda kawasan itu dan Iceland pada bulan Mei lalu, menurut laporan terbaharu oleh rangkaian saintifik World Weather Attribution (WWA), semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Wilayah Artik sejak sekian lama menjadi barisan hadapan kepada krisis pemanasan global, dengan suhu di kawasan itu meningkat empat kali lebih pantas berbanding seluruh dunia sejak tahun 1979, berdasarkan kajian diterbitkan dalam jurnal Nature pada 2022 dan kadar pencairan mendadak ini memberi kesan langsung terhadap peningkatan paras laut global.
Menurut Prof. Madya Sains Iklim dari Imperial College London, Friederike Otto yang juga seorang daripada pengarang laporan berkenaan, pencairan luar biasa itu adalah mustahil berlaku tanpa kesan perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia.
“Pencairan ini meningkat 17 kali ganda berbanding kadar biasa. Ini bermakna sumbangan ais Greenland kepada kenaikan paras laut adalah jauh lebih tinggi akibat gelombang haba ini,” katanya.
WWA menjelaskan data semasa gelombang haba dari 15 hingga 21 Mei 2025 dibandingkan dengan purata pencairan ais bagi minggu yang sama sepanjang tempoh 1980 hingga 2010.
Di Iceland, suhu pada 15 Mei lalu melepasi 26 darjah Celsius sesuatu yang tidak pernah berlaku pada masa itu sepanjang tahun, terutama bagi sebuah negara subartik.
Menurut Institut Meteorologi Iceland, sebanyak 94 peratus stesen cuaca di negara itu mencatatkan suhu tertinggi baharu pada bulan lalu.
Di timur Greenland pula, suhu tertinggi semasa gelombang haba mencecah hampir 3.9 darjah Celsius lebih panas berbanding suhu purata era pra-industri, menurut laporan sama.
Walaupun suhu sekitar 20 darjah Celsius mungkin tidak dianggap ekstrem oleh kebanyakan orang di dunia, WWA menegaskan kesan suhu sebegini di kawasan Artik adalah besar dan membawa implikasi global.
Gelombang haba seperti yang direkodkan pada Mei lalu, menurut WWA, kini dijangka boleh berulang setiap 100 tahun, sekali gus memperlihatkan risiko jangka panjang yang perlu ditangani segera.
Suhu panas juga memberi kesan terhadap infrastruktur di Greenland dan Iceland yang direka bentuk untuk cuaca sejuk dengan semasa gelombang haba, pencairan ais boleh menyebabkan banjir serta merosakkan jalan raya dan struktur binaan.
Laporan WWA turut menambah pada 2022, suhu tinggi menyebabkan lapisan tanah beku (permafrost) mencair, sekali gus melepaskan zat besi dan logam lain ke dalam tasik-tasik Artik.






























