PETALING JAYA: Siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.3 bilion melibatkan individu bergelar Tan Sri dijangka mengambil masa dua bulan atau lebih untuk dilengkapkan.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, anggaran sedemikian dibuat kerana ia adalah kes berprofil tinggi yang melibatkan pengesanan aset di dalam dan luar negara.
Kata sumber itu, keterangan Tan Sri yang diambil semalam selama enam jam adalah berhubung dengan projek lebuh raya itu.
“Tan Sri berkenaan merupakan pemilik utama syarikat konsesi terbabit dan syarikat milik Tan Sri itu juga memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dalam pelaksanaan keseluruhan projek tersebut.
“Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan 52 saksi termasuk Tan Sri itu dan ahli keluarganya,” katanya.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan, SPRM sedang mengesan 13 buah kenderaan milik suspek.
Turut dikesan beberapa lagi hartanah, akaun bank dan aset termasuk di luar negara iaitu di Switzerland, Australia dan United Kingdom (UK).
“Pelaburan yang diperoleh daripada hasil aktiviti haram juga akan turut disita SPRM dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan proses rakaman percakapan suspek selesai semalam dan disambung hari ini.
Proses merekod keterangan Tan Sri itu di kediamannya bermula pukul 9 pagi dan selesai pukul 3 petang.
Selain itu, SPRM turut melakukan serbuan di kediaman suspek di Melaka, namun tiada sebarang rampasan atau sitaan dilakukan.
































