SEREMBAN : Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Seremban Jaya di sini mengalami kecederaan parah selepas dipercayai dibelasah dua rakan sekelasnya dalam satu kejadian buli yang berlaku di dalam kelas pada 13 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Muhammad Zuhaily Mohd Annuar, 16, mengalami patah tangan kanan, selain luka di bahagian muka dan mulut selepas dipukul bertubi-tubi oleh dua pelajar terbabit ketika ketiadaan guru tiada dalam kelas kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut ibu mangsa, Norbaizura Mohd Noor, 40, kejadian itu mengecewakan dan mendakwa pihak sekolah gagal memaklumkan insiden berkenaan dengan segera kepada keluarga.
“Saya hanya mengetahui tentang kejadian itu melalui rakan anak saya yang kebetulan membawa telefon bimbit ke sekolah. Dia menghubungi saya kira-kira pukul 11.20 pagi sebelum telefonnya dirampas oleh guru,” katanya ketika dihubungi.
Anaknya kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
































