Bakteria tersebut yang dinamakan Niallia tiangongensis, sempena nama stesen angkasa berkenaan.
BEIJING: Penemuan terbaharu dalam penyelidikan angkasa lepas mendedahkan kewujudan sejenis bakteria yang belum pernah dikenal pasti di bumi, namun mampu hidup dalam persekitaran ekstrem di Stesen Angkasa Tiangong milik China.
Menurut Utusan Malaysia, bakteria tersebut yang dinamakan Niallia tiangongensis, sempena nama stesen angkasa berkenaan, merupakan saudara kepada spesies bakteria tanah Niallia circulans yang lazimnya ditemui dalam tanah, kumbahan dan juga makanan namun, kajian mendapati bakteria tersebut mengalami evolusi genetik dengan memperlihatkan ciri-ciri membolehkannya bertahan di luar atmosfera bumi, termasuk kemampuan membaiki kerosakan DNA akibat radiasi tinggi.
Bakteria itu didapati mampu ‘memakan’ gelatin untuk menghasilkan satu lapisan pelindung tebal dikenali sebagai biofilm, satu mekanisme perlindungan yang tidak pernah dilihat pada bakteria berkaitannya di bumi.
Walaupun spesies Niallia circulans diketahui boleh menyebabkan sepsis jangkitan serius yang mengancam nyawa dalam pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah, para penyelidik belum dapat memastikan sama ada ia turut berbahaya kepada manusia.
Menurut pasukan saintis, pemahaman mengenai keupayaan bakteria angkasa seperti ini amat penting dalam usaha menjaga kesihatan angkasawan, terutamanya ketika berada dalam ruang tertutup yang jauh dari bumi.
Penemuan tersebut diperoleh menerusi misi Shenzhou-15 pada tahun 2023 apabila kru stesen angkasa Tiangong mengambil sampel dengan menyapu dinding kabin menggunakan tisu steril sebelum dibekukan dan dibawa pulang ke bumi untuk dianalisis.
Analisis mendalam menunjukkan bakteria baharu itu berkongsi banyak persamaan dengan Niallia circulans termasuk bentuknya yang seperti rod dan kebolehannya menyebarkan spora satu ciri yang membolehkan ia terus hidup dalam keadaan ekstrem.
Menurut penyelidik, bakteria itu berkemungkinan berasal daripada koloni kecil Niallia circulans atau sporanya yang telah terbawa ke stesen angkasa dan kemudiannya menyesuaikan diri dengan persekitaran luar biasa di angkasa.
Ini bukan kali pertama manusia secara tidak sengaja mencipta spesies bakteria baharu melalui penerokaan angkasa kerana pada April tahun lalu, NASA turut menemui 13 jenis bakteria tahan antibiotik baharu yang hidup di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), termasuk di saluran udara, peralatan senaman dan tandas.
Seperti Niallia tiangongensis, bakteria di ISS dipercayai bermula sebagai bakteria biasa dari bumi yang mengalami perubahan genetik selepas berada dalam persekitaran angkasa lepas.






























