Keadaan jalan raya ditenggelami banjir di bandar Wingham, selepas hujan lebat merentasi pantai tengah utara New South Wales, Australia, kelmarin.
SYDNEY: Hujan lebat terus melanda timur Australia pada Khamis, menyebabkan banjir buruk yang menenggelamkan jalan raya dan hampir 50,000 orang terkandas.
Menurut Utusan Malaysia, polis menemukan mayat seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun di sebuah rumah yang dinaiki air, di luar bandar Moto, kira-kira 400 kilometer (km) timur laut Sydney.
Sebahagian mangsa terpaksa berlindung di atas bumbung rumah, ketika pihak berkuasa mengerahkan helikopter, bot dan dron untuk operasi menyelamat.
Beberapa kawasan di New South Wales dilanda hujan lebat luar biasa, dengan jumlah melebihi paras purata empat bulan hanya dalam masa dua hari.
“Saya ingin maklumkan kami sedang bersiap sedia untuk berita buruk dalam tempoh 24 jam akan datang.
“Bencana alam ini amat mengerikan bagi komuniti,” kata Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns kepada wartawan.
Minns berkata, hampir 50,000 orang mungkin terputus hubungan akibat banjir di seluruh kawasan Mid North Coast.
Pihak berkuasa turut bimbang apabila sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan hilang.
Datuk Bandar Kempsey, Kinnie Ring berkata, hab pertanian di tebing Sungai Macleay itu dilanda banjir tanpa sebarang amaran awal.
Ring berkata, lebih 20,000 orang terputus hubungan, dengan ramai yang tidak dapat mengakses ubat-ubatan dan bekalan keperluan.
Dari kawasan pedalaman yang kering kontang hingga ke pantai tropika, sebahagian besar Australia dilanda cuaca buruk dalam beberapa bulan ini.






























