TOKYO: Pihak berkuasa Jepun menahan seorang bekas pemandu teksi yang disyaki terlibat dalam kes rogol terhadap seorang penumpang wanita yang diberikan pil tidur.
Menurut Utusan Malaysia, laporan media tempatan turut melaporkan terdapat kemungkinan puluhan lagi mangsa.
Menurut akhbar harian Yomiuri Shimbun dan Jiji Press, polis menemukan kira-kira 3,000 video dan imej menunjukkan lelaki terbabit melakukan serangan seksual terhadap 50 wanita, sama ada di dalam teksinya atau di rumah.
Tahun lalu, suspek memberikan pil tidur kepada seorang wanita yang ketika itu berusia 20-1n sehingga menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri, sebelum membawanya pulang dan melakukan perbuatan tidak senonoh yang turut dirakam.
Jurucakap polis Tokyo berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan pada Rabu atas tuduhan melakukan persetubuhan tanpa persetujuan dan melanggar undang-undang mengenai hukuman penggambaran bahagian sulit, katanya tanpa mengulas lanjut.
Menurut laporan media, kesan pil tidur dikesan pada rambut mangsa.
Rakaman yang ditemukan dalam telefon dan peranti lain milik suspek dipercayai bermula sejak tahun 2008, menurut laporan sama.
Media turut melaporkan, lelaki terbabit pernah ditahan pada Oktober lalu atas tuduhan memberi ubat pelali kepada seorang wanita lain dan merompaknya sebanyak 40,000 yen (RM1,191).
Dia kemudian dibebaskan sebelum ditahan semula pada Disember atas dakwaan melakukan perbuatan tidak senonoh.






























