NEW DELHI: Polis India menahan seorang Youtuber tempatan kerana disyaki mengintip untuk Pakistan.
Menurut Utusan Malaysia, Jyoti Malhotra, pempengaruh pelancongan dari negeri Haryana di utara India, didakwa beberapa kali mengunjungi negara jiran tersebut, dengan lawatan terakhirnya pada Mac 2025.
Polis di Haryana mendakwa beliau berhubung dengan seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Pakistan, yang diusir dari India awal bulan ini.
Bapa YouTuber terbabit menafikan dakwaan anaknya seorang perisik, dan memaklumkan beliau ke Pakistan selepas mendapat kebenaran yang diperlukan.
Malhotra menggambarkan dirinya di media sosial sebagai ‘gadis moden dengan idea lama’, dan mempunyai 377,000 pengikut di YouTube dan 133,000 di Instagram.
Namun, polis mempersoalkan bagaimana beliau membiayai perjalanan ke seluruh dunia, memandangkan videonya mendokumentasikan lawatan ke negara seperti Bangladesh, China, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.
Polis mendakwa perbelanjaan itu tidak sepadan dengan sumber pendapatannya yang diketahui.
Polis juga mendakwa, Malhotra berhubung dengan ‘operasi perisikan Pakistan’ dan mempunyai hubungan berterusan dengan seorang warganegara Pakistan.
Ketua Polis Daerah Hisar di Haryana, Shashank Kumar Sawan berkata, Malhotra turut disiasat atas sebarang kaitan dengan serangan di Pahalgam.
Video terakhir Malhotra mengenai Pakistan dimuat naik pada Mac, di mana beliau dilihat menghadiri majlis berbuka puasa di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi.