PARIS: Perancis akan membina sebuah penjara dengan keselamatan tinggi baharu di Guiana Perancis, untuk menempatkan pengedar dadah dan golongan radikal Islam.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin memberitahu akhbar Le Journal du Dimanche (JDD) bahawa penjara itu akan menyasarkan jenayah terancang di semua peringkat rantaian bekalan dadah.
Kemudahan bernilai 400 juta euro (RM1.9 bilion), yang dijangka siap dan beroperasi seawal 2028, akan dibina di lokasi terpencil dalam hutan Amazon di wilayah barat laut Saint-Laurent-du-Maroni.
Rancangan itu diumumkan selepas beberapa siri insiden ganas yang dikaitkan dengan kumpulan penjenayah yang menyasarkan penjara dan kakitangan di seluruh Perancis dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Penjara tersebut akan menempatkan sehingga 500 banduan, dengan bahagian berasingan yang dikhaskan untuk penjenayah paling berbahaya.
Darmanin berkata, kemudahan itu akan diuruskan dengan ‘rejim penjara yang sangat ketat’ bagi menghalang aktiviti penyeludupan dadah paling berbahaya.
Beliau berkata, penjara tersebut akan digunakan untuk menahan individu pada peringkat awal rangkaian penyeludupan dadah, serta berfungsi sebagai cara menyingkirkan ketua rangkaian pengedaran dadah di Perancis.
Guiana Perancis adalah wilayah di Perancis di pantai timur laut Amerika Selatan.
Penduduknya layak mengundi dalam pilihan raya Perancis dan mempunyai akses kepada sistem keselamatan sosial negara serta pelbagai subsidi lain.
































