Hajiji (tiga dari kanan) bersama Victor (tiga dari kiri) dan pasukan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Sawit Kinabalu menunjukkan buku OACP 2025-2029.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik langkah Kumpulan Sawit Kinabalu memperkenalkan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2025-2029, satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus baik di semua peringkat organisasi.
“Saya menggalakkan semua jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencontohi pendekatan ini dalam memperkukuh nilai integriti serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan OACP adalah satu inisiatif ke arah mewujudkan pentadbiran yang cekap, berwibawa dan bebas rasuah.
Hajiji yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu berkata, pelaksanaan OACP tidak seharusnya sekadar memenuhi kehendak dasar, sebaliknya perlu menjadi amalan dalam budaya kerja GLC dan agensi kerajaan.
Ketua Menteri berkata demikian selepas menerima OACP daripada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah pasukan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Kumpulan Sawit Kinabalu.