WASHINGTON: Presiden, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif untuk melancarkan program pengusiran pendatang secara sukarela yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan.
Menurut Utusan Malaysia, program itu menawarkan penerbangan percuma dan bayaran ‘bonus keluar’ kepada sesiapa sahaja yang bersedia meninggalkan AS secara sukarela dan kekal.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web Rumah Putih, Trump mengecam pendatang tanpa izin, mendakwa negara itu sedang mengalami pencerobohan berskala penuh yang dikaitkannya dengan peningkatan jenayah dan keganasan.
“Pendatang haram yang terus tinggal di AS akan berdepan hukuman, termasuk pengusiran secara tiba-tiba ke lokasi dan cara yang kami tentukan sendiri. Kepada semua pendatang haram, tempah penerbangan percuma anda sekarang!” tulis Trump di platform Truth Social.
Jaminan ganjaran itu disertai dengan ancaman hukuman berat bagi mereka yang melanggar undang-undang imigresen.
Menurut Trump, mereka yang enggan meninggalkan negara itu secara sukarela boleh dikenakan hukuman penjara yang berat, denda kewangan yang besar, rampasan semua harta, pemotongan gaji, pemenjaraan dan pengusiran mengejut ke lokasi terpilih.
Pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas Trump memberitahu wartawan beliau bercadang membayar setiap pendatang sejumlah wang dan akan berikan mereka penerbangan yang indah pulang ke negara asal.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem pada hari Isnin mengesahkan jabatan beliau akan menguruskan program bantuan berjumlah AS$1,000 (RM4,289) yang akan diberikan setelah kepulangan pendatang ke negara asal disahkan melalui aplikasi CBP Home.
“Asalkan bukan di sini, anda boleh pergi ke mana-mana sahaja yang anda mahu,” kata Trump dalam video yang dimuat naik bersama kenyataannya.