PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kali ketiga bagi 2025, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dan perdagangan global yang berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.
Prospek pertumbuhan global akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.
Walau bagaimanapun, langkah-langkah tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan tindakan balas telah melemahkan prospek pertumbuhan dan perdagangan global.
Menurut bank pusat, prospek ini kekal tertakluk pada ketidakpastian yang ketara, termasuk hasil rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik, selain boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara.
“Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi terus berkembang pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang berterusan.
“Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan ketidakpastian dasar global yang ketara akan menjejaskan sektor luaran.
“Namun, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi akan menampung eksport,” menurut kenyataan.
BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.5 peratus dan 1.9 peratus pada suku pertama tahun ini.
“Secara keseluruhan, inflasi pada tahun ini dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
“Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, lantas menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana dan dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal.
“Risiko kepada inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan luaran berhubung dengan harga komoditi global, pasaran kewangan dan dasar perdagangan,” katanya.
Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.


































