Hajiji bersama barisan ahli MPWS yang baharu dilantik. Turut kelihatan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong (tiga dari kiri) dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong (kanan).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu melihat lebih ramai wanita diberdaya melalui program berkesan yang memberi mereka keupayaan untuk membuat pilihan serta terlibat dalam dasar dan pembuatan keputusan.
“Lebih penting lagi, saya mahu wanita diberi akses kepada peluang termasuk pemberdayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik supaya mereka dapat membuat keputusan yang memberi kesan positif kepada kehidupan mereka dan keluarga,” katanya.
Berucap pada majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang baharu dilantik di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata, pemberdayaan wanita amat penting bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi juga untuk pembangunan masyarakat secara keseluruhan.
“Pemberdayaan wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga yang lebih sihat dan komuniti yang lebih adil. Namun, ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua pihak – Kerajaan, organisasi dan individu – bagi mewujudkan persekitaran inklusif yang membolehkan wanita terus maju.
“Oleh itu, saya berharap barisan MPWS yang baharu ini dapat menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pelbagai aspek bagi melahirkan wanita berilmu dan cemerlang yang boleh mengangkat nama Sabah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Hajiji menandatangani surat pelantikan Dr. Rosmahwati.
Hajiji berkata, peranan dan kepentingan wanita sebagai modal insan yang memacu pembangunan negeri semakin terserlah.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan melahirkan wanita yang berpengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang memerlukan nilai kreativiti dan inovasi,” katanya.
MPWS ditubuhkan sebagai badan penyelaras dan penasihat kepada Kerajaan Negeri serta menjadi pengantara antara Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan wanita.
“MPWS turut melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada wanita di Sabah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, antara lainnya.
“Oleh itu, kepada mereka yang dilantik memegang jawatan dalam majlis ini, ia merupakan satu penghormatan kerana dipilih dan diberi kepercayaan untuk menerajui usaha memastikan wanita di Sabah mendapat manfaat daripada dasar dan program kerajaan melalui MPWS,” katanya.

Hajiji menyaksikan majlis angkat sumpah.
Hajiji berkata, MPWS juga memainkan peranan penting sebagai badan pemikir, pemangkin dan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam menyatukan usaha memajukan wanita di negeri ini.
“MPWS mempunyai tujuh jawatankuasa kecil yang diwujudkan bagi memajukan pembangunan wanita iaitu Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita dan Media.
“Saya mahu JHEWA yang bertindak sebagai Urus Setia MPWS membantu pelaksanaan program yang dirancang oleh MPWS. Ini sangat penting dalam usaha memberdaya dan mengangkat martabat wanita di Sabah.
“Saya juga berharap semua ahli majlis yang baharu dilantik dapat menetapkan hala tuju MPWS untuk memperkasa kebajikan rakyat melalui jawatankuasa sedia ada,” katanya.
Mendahului angkat sumpah ahli MPWS yang baharu itu ialah Pengerusi, Datuk Dr. Rosmahwati Lasuki.
Ahli baharu MPWS ialah Datin Fauziah Abu Bakar Titingan, Jais Asri, Prof. Ts. Dr. Imbarine Bujang, Viviantie Sarjuni, Dayang Selha Ibrahim, Nor Saadah Omar, Nor Azah Abd. Rahman dan Datin Atin Belynda Buntot.


































