Florian Ilon
KENINGAU: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) N.40 Bingkor, Florian Ilon menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bingkor, Rafie Robert, yang mempertahankan maruah serta kestabilan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut Florian, kenyataan Rafie bahawa GRS “tidak dibina untuk melayan kehendak peribadi sesiapa” sangat bertepatan dengan situasi politik semasa yang memerlukan keikhlasan dan komitmen kolektif dalam perjuangan.
“GRS terbentuk atas kepercayaan dan iltizam bersama, bukan kerana paksaan. Maka mana-mana pihak yang hanya ingin menumpang nama tetapi tidak menghormati semangat gabungan harus menilai kembali kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Wiramuda STARSABAH menolak politik bermuka-muka yang bersalam di pentas tetapi menyimpan niat buruk di belakang.
Florian turut membidas tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan gabungan dengan kenyataan berunsur ugutan dan tuntutan yang tidak wajar.
Beliau merujuk kepada kenyataan Rafie berhubung kehadiran Parti USNO dalam kerajaan walaupun tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, sebagai contoh toleransi politik yang sewajarnya dihargai.
“Adalah tidak wajar jika semangat inklusif yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri dibalas dengan tuntutan yang melampaui asas persefahaman politik. GRS bukan tempat untuk ‘gunting dalam lipatan’,” katanya.
Dalam pada itu, Florian menegaskan pendirian Pemuda STARSABAH bahawa kestabilan lebih penting daripada memenuhi kehendak individu.
“Kepimpinan yang ikhlas tidak hanya muncul ketika ada habuan. Pengkhianatan dari dalam harus ditolak tegas demi kelangsungan perjuangan rakyat Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan sokongan padu Wiramuda STARSABAH terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan seluruh pimpinan GRS yang kekal jujur dalam perjuangan demi rakyat.
“Rumah ini dibina atas keringat ramai — jangan biarkan ada yang cuba membakarnya dari dalam,” tegasnya.


































