KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di pusat bandar Kota Kinabalu akan ditutup secara sementara sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 yang berlangsung pada 1 dan 2 Mei ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komissioner Kasim Muda berkata, penutupan jalan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada dua acara utama iaitu KK Navy Fun Run dan Navy Sunset Ceremony yang dijangka menarik kehadiran orang ramai.
Pada 1 Mei (Khamis), penutupan jalan bermula seawal jam 6.30 pagi bagi memberi laluan kepada acara KK Navy Fun Run melibatkan laluan sejauh lima kilometer.
Antara laluan yang ditutup sementara ialah:
Bulatan Capital (Bandaran) ke KK Bypass
Bulatan Istiadat
Beberapa laluan alternatif disediakan:
Dari Laiman Diki ke lampu isyarat Centre Point / Karamunsing ke Jalan Tuaran
Dari Kompleks Sukan Likas – lampu isyarat Damai – pusat bandar
“Penutupan ini adalah bersifat sementara dan jalan akan dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja peserta larian melepasi kawasan terlibat. Acara dijangka tamat pada jam 8.30 pagi,” kata ACP Kasim dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pada 2 Mei (Jumaat), penutupan jalan turut dilaksanakan bermula jam 5.45 petang bagi acara Navy Sunset Ceremony di Gaya Street.
Laluan yang terlibat ialah:
Jalan Pantai (berhadapan Bataras Supermarket)
Jalan Pantai (berhadapan Deasoka)
Acara berkenaan juga disepadukan dengan Program Sugandoi Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu dan aktiviti KK Night Market yang dijangka meningkatkan kepadatan trafik di pusat bandar.
Orang awam dan pengguna jalan raya disarankan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif seperti disarankan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Sebarang kesulitan amat dikesali dan kerjasama orang ramai dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang acara amat dihargai,” ujar Kasim.


































