PENAMPANG: Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyeru kepimpinan baharu dan lama dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) agar terus memperkukuh perjuangan memelihara adat, budaya serta memperjuangkan kemajuan sosioekonomi komuniti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).
Berucap pada majlis pelantikan Jawatankuasa Pusat KDCA yang baharu di sini petang kelmarin, Pairin merakamkan penghargaan kepada semua ahli KDCA atas sokongan berterusan serta kesediaan memikul tanggungjawab dalam menerajui pertubuhan yang kini berusia 59 tahun.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa pusat yang telah dipilih dan dilantik. Ini adalah satu tanggungjawab yang dipikul bersama demi masa depan komuniti kita,” kata Presiden KDCA itu.

Joseph Pairin Kitingan
Pairin berkata, KDCA bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya merupakan tunjang penting kepada kelangsungan warisan budaya dan kesejahteraan komuniti KDM secara menyeluruh.
“Kita membantu dan menuju kejayaan terhadap komuniti kita secara keseluruhannya. Peranan KDCA selaras dengan dasar Kerajaan untuk memajukan rakyat negeri ini di bawah kerangka Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menurut Pairin, antara peranan penting KDCA adalah dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan kebudayaan serta adat resam yang menjadi asas jati diri masyarakat KDM.

Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (kanan) semasa upacara angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai Timbalan Presiden KDCA.
Beliau turut menekankan peranan sambutan Pesta Kaamatan sebagai medium pemangkin semangat komuniti, selain memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Pesta Kaamatan adalah satu pendorong, katalis untuk menguatkan azam kita membawa komuniti ke hadapan dalam bidang sosioekonomi,” ujarnya.
Mengimbas kembali sejarah KDCA yang bermula pada tahun 1966, Pairin berkata, walaupun banyak cabaran telah dilalui, pertubuhan itu berjaya mencatat kemajuan yang signifikan hingga ke hari ini.

Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan) semasa upacara angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai Timbalan Presiden KDCA.
“Keadaan kita sekarang sudah jauh berbeza. Masih ada kekurangan, tetapi kita sudah melalui banyak kemajuan,” katanya.
Beliau turut mengajak kepimpinan KDCA untuk bersatu dan bersedia berdepan cabaran moden dalam dunia yang semakin tidak menentu, termasuk ketidaktentuan ekonomi global.
“Walau apa pun yang berlaku di luar negara, kita perlu duduk bersama, fikir bersama dan cari jalan untuk terus berjaya. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit,” katanya lagi.
Pairin juga menyatakan bahawa mesyuarat utama KDCA bagi merangka visi dan misi baharu akan diadakan di Tambunan pada penghujung Jun.
Beliau mengajak semua ahli untuk terus fokus kepada perjuangan KDCA dan sentiasa memikirkan masa depan generasi akan datang.
“Kita perlu fikir tentang masa depan kita, generasi masa depan dan komuniti kita yang akan datang. Teruskan perjalanan dan kerjasama ke hadapan,” katanya.

































