Jahid (depan, dua dari kiri) dan Johan (depan, kanan) bersama peserta Bengkel Penulisan Asas Berita dan Pengucapan Awam di Tamparuli.
TAMPARULI: Seramai 29 peserta dari sekitar daerah ini menyertai Bengkel Penulisan Asas Berita dan Pengucapan Awam anjuran Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Johan Jahid kelmarin.
Bengkel yang diadakan di MJ Corner ini menyasarkan lepasan SPM, STPM dan golongan wanita, dengan tujuan memperkasa kemahiran asas dalam penulisan berita bertanggungjawab, pengucapan awam serta pembuatan kandungan digital.
Menurut Johan, program itu diadakan bagi menambah nilai kemahiran anak muda yang bakal melanjutkan pelajaran, khususnya dalam menghasilkan artikel berkualiti untuk perkongsian ilmu dan penyebaran isu semasa.
“Walaupun fokus utama kepada golongan muda, bengkel ini turut menarik penyertaan wanita yang aktif menulis untuk aktiviti kampung dan buletin gereja,” katanya.
Tambah beliau, peserta turut diajar teknik memilih topik menarik dan mempromosikan keindahan serta keunikan Sabah melalui penulisan tentang pelancongan, budaya dan makanan.
Bengkel tersebut dikendalikan wartawan berpengalaman, Mariah Doksil yang turut menekankan pentingnya pemantauan kendiri ketika menghasilkan kandungan di pelbagai platform media supaya sentiasa mematuhi etika penulisan.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim yang menyeru peserta memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk menghasilkan artikel dan kandungan digital berimpak tinggi di peringkat komuniti.
Beliau turut menggalakkan anak-anak muda untuk terus menimba pelbagai kemahiran insaniah sebagai persediaan menyambung pelajaran atau memasuki dunia pekerjaan.


































