George (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan bahagian Pengurusan, Pengurus-pengurus Pusat Pelanggan Daerah, Ketua-ketua Unit dan bekas kakitangan PPS dalam majlis itu.
KOTA KINABALU: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta mempererat hubungan dengan pelanggan menerusi Program Hari Bersama Pelanggan, Program Memperkasa Usahawan PKS, dan Majlis Hari Raya Aidilfitri DCC Alamesra 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PPS, Datuk George Taitim Tulas berkata, program tersebut diadakan bersempena Ekspedisi Jelajah 70 Tahun PPS, bertujuan membawa PPS lebih dekat kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Selain memperingati perjalanan tujuh dekad PPS sejak 1955, sambutan ini juga menjadi platform untuk menetapkan halatuju masa depan yang lebih cemerlang, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dan teknologi,” katanya ketika berucap di Pusat Pelanggan Alamesra di sini hari ini.

George (empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan dengan penerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PPS dalam majlis itu.
Menurut George, PPS bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah komited membimbing usahawan dalam aspek pengurusan kewangan, proses mendapatkan pinjaman serta memanfaatkan peluang perniagaan untuk meningkatkan daya saing.
“Melalui Program Memperkasa Usahawan PKS, kita beriltizam membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berjaya, sekali gus memperkukuh kekuatan ekonomi negeri,” tambah beliau.
Dalam Program Hari Bersama Pelanggan pula, PPS membuka ruang kepada pelanggan untuk berinteraksi secara langsung, selain berkongsi pandangan, pertanyaan dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
“Maklum balas pelanggan amat penting untuk PPS terus berinovasi dan memastikan perkhidmatan kami relevan serta memenuhi keperluan semasa rakyat Sabah,” katanya.
Majlis Hari Raya Aidilfitri yang turut dianjurkan dalam program ini pula mencerminkan keakraban PPS dengan pelanggan, rakan strategik dan komuniti, selain memperkukuh semangat perpaduan.
George berkata, PPS bertekad untuk terus menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi negeri dengan memperkasa sektor keusahawanan, memperluas akses pembiayaan, serta mengadaptasi teknologi baharu dalam perkhidmatan mereka.
“Kami akan memastikan setiap inisiatif adalah inklusif, adil dan berpaksikan kesejahteraan rakyat demi manfaat generasi akan datang,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program berkenaan.































