KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Tujuh Buah Mesin Basuh kepada pihak asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 1 dalam satu majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan beliau bagi mempertingkat kebajikan pelajar asrama, khususnya dari aspek kebersihan, keselesaan dan penjagaan kesihatan.
Ellron berharap agar kemudahan itu dijaga sebaiknya dan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar kini serta generasi akan datang.
“Sumbangan ini mungkin kecil dari segi nilai material, tetapi kami percaya ia mampu memberi impak besar terhadap kesejahteraan pelajar. Semoga ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama dan inisiatif bermanfaat pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya turut menyumbangkan tujuh buah mesin basuh kepada SMK Sook, sebagai tanda komitmen berterusan dalam usaha meningkatkan prasarana pendidikan di daerah ini.
Dalam pertemuan bersama para pelajar, Ellron turut menitipkan nasihat agar mereka sentiasa menjaga jati diri dan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang merosakkan, termasuk penyalahgunaan dadah.
“Anda adalah aset negara, pelapis masa depan. Jagalah diri agar tidak terjerumus ke dalam kancah gejala sosial. Sebaliknya, teruslah berusaha untuk membanggakan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengambil maklum masalah bekalan air bersih yang kerap berlaku di sekolah berkenaan. Beliau memberi jaminan bahawa satu pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan Pegawai Jabatan Air Daerah Keningau bagi membincangkan isu tersebut serta mencari penyelesaian yang sewajarnya.
Majlis penyerahan disaksikan oleh Pengetua SMK Keningau, Sabdin Saribin dan Timbalan Yang Dipertua PIBG, Nabilah Abdullah. Turut hadir ialah barisan penolong kanan, guru-guru dan para pelajar sekolah.






























