Nizam (tengah) menerima surat jemputan untuk merasmikan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri daripada Jennitah semasa kunjungan hormat itu.
KOTA KINABALU: Tawau dipilih sebagai tuan rumah Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) Peringkat Negeri yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Julai 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chin, Tawau.
Festival julung kali anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tawau serta beberapa agensi lain di daerah tersebut.
BAHTERA akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Pengarah DBP Cawangan Sabah, Jennitah Noordin berkata, festival ini menjadi wadah kepada pencinta bahasa, sastera, pelajar dan masyarakat umum untuk mengenali serta mendalami keunikan bahasa dan karya sastera yang menjadi warisan bangsa.
“Festival ini bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi utama serta memperkayakan apresiasi terhadap pelbagai bentuk karya sastera seperti puisi, cerpen, novel dan drama,” katanya semasa kunjungan hormat kepada Nizam di Menara Kinabalu.
Beliau turut menjelaskan bahawa BAHTERA bukan sahaja mempromosikan karya sastera tempatan, malah menggalakkan dialog antara budaya serta memperkukuh jati diri bangsa melalui penghayatan bahasa dan seni.
Antara pengisian menarik sepanjang festival ialah aktiviti “Jom, Baca dan Warnai”, “Majalah Dalam Kelas”, Pertandingan Forum Remaja 2025 Peringkat Negeri Sabah dan Pesta Buku Tawau.
Nizam pula mengalu-alukan pemilihan Tawau sebagai tuan rumah festival dan menyatakan bahawa sekolah-sekolah di Tawau sering muncul sebagai johan dalam Pertandingan Forum Remaja di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Penganjuran festival ini diharap dapat menyemai rasa cinta dalam kalangan generasi muda terhadap bahasa dan sastera, seterusnya menjamin kelestarian warisan budaya dalam arus kemodenan,” katanya.
Tambah beliau, BAHTERA juga menjadi platform kepada masyarakat untuk mengenali, memahami dan menghargai keindahan serta kepentingan karya sastera tempatan dan kebangsaan.
Sempena festival tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan berupa wakaf buku akan disalurkan kepada lapan buah sekolah menengah dan rendah dalam kawasan DUN Apas.
































