WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi isyarat membuat pusingan U dalam pendiriannya terhadap tarif import China, di tengah ketidaktentuan pasaran.
Menurut Utusan Malaysia, Trump memaklumkan, kadar tarif yang tinggi ke atas barangan import dari negara itu akan dikurangkan secara ketara, namun bukan dihapuskan sepenuhnya.
Kenyataan dalam sidang media di Rumah Putih itu dilihat sebagai satu langkah ke belakang selepas berminggu-minggu menunjukkan pendirian tegas serta tindakan ‘balas dendam’ yang menyebabkan tarif ke atas barangan China melonjak 145 peratus.
“145 peratus sangat tinggi dan ia tidak akan kekal setinggi itu. Ia tidak akan hampir ke tahap itu.
“Ia akan turun dengan ketara tetapi tidak akan menjadi sifar,” kata Trump semasa sesi soal jawab bersama wartawan di Pejabat Oval, kelmarin.
Kenyataan itu menjawab komen lebih awal oleh Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, bahawa tarif tinggi itu tidak boleh dikekalkan dan beliau menjangka akan berlaku pengurangan ketegangan dalam perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Trump sebelum ini mengenakan cukai import sebanyak 145 peratus ke atas barangan dari China, yang dibalas oleh Beijing dengan tarif sebanyak 125 peratus terhadap produk AS.
RUNDINGAN MENJADI RUMIT
Tarif itu juga dikenakan ke atas puluhan negara lain, menyebabkan pasaran saham terjejas dan kadar faedah hutang AS meningkat disebabkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dan tekanan inflasi.
Bessent, dalam satu sesi tertutup, mengakui rundingan dengan China akan menjadi rumit dan tiada pihak yang menganggap situasi semasa boleh diteruskan.
Pasaran saham S&P 500 melonjak 2.5 peratus selepas Bloomberg melaporkan kenyataan Bessent itu.
Trump mengaku kenaikan pasaran saham ketika bercakap kepada wartawan selepas majlis angkat sumpah Paul Atkins, sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
Namun, beliau mengelak untuk menyokong pandangan Bessent bahawa keadaan semasa semakin tidak mampan dan ketegangan dengan China tidak boleh dikekalkan.
Walaupun mengenakan tarif tinggi, Trump berkata, beliau akan ‘berbaik’ dengan China dan tidak akan mengambil pendekatan terlalu tegas terhadap Presidennya, Xi Jinping.
“Kita baik-baik saja dengan China. Kita akan hidup bersama dengan bahagia dan kalau boleh, bekerjasama,” katanya.
Pentadbiran Trump juga mengadakan rundingan perdagangan dengan Jepun, India, Korea Selatan, Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Mexico.
Namun begitu, Trump masih belum menunjukkan tanda beliau akan menarik balik tarif asas sebanyak 10 paratus yang dikenakan, sebaliknya menuntut negara lain menurunkan cukai import mereka serta menghapuskan halangan bukan tarif yang menjejaskan eksport AS.
Ketidakpastian berkaitan tarif turut meningkat apabila Trump menggesa Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah utamanya, bahkan memberi isyarat bahawa beliau mungkin memecat Pengerusi Fed, Jerome Powell.
Bagaimanapun, Trump kemudian menyatakan beliau tidak berhasrat memecat Powell dan hanya mahu Fed bertindak lebih awal dalam menurunkan kadar faedah.
PERTUMBUHAN EKONOMI GLOBAL
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi tahun ini, berikutan ketidaktentuan daripada pelaksanaan tarif perdagangan Trump.
Ekonomi AS menerima potongan unjuran terbesar dalam kalangan negara maju, dengan pertumbuhan dijangka hanya 1.8 peratus tahun ini, berbanding 2.7 peratus yang diunjurkan pada Januari lalu.
IMF menjangkakan peningkatan tarif ketara dan ketidaktentuan dasar perdagangan akan menyebabkan kemerosotan dalam pertumbuhan ekonomi global.
Unjuran pertumbuhan global kini turut dikurangkan kepada 2.8 peratus bagi tahun ini, berbanding 3.3 peratus sebelumnya dan 3.0 peratus pada tahun 2026.
Inflasi di UK diramalkan menjadi yang tertinggi dalam kalangan negara maju, pada kadar 3.1 peratus tahun ini, terutama disebabkan peningkatan kos utiliti seperti tenaga dan air.
Laporan ini dikeluarkan ketika para pembuat dasar ekonomi utama berkumpul di Washington bagi mesyuarat musim bunga IMF dan Bank Dunia.
IMF turut memberi amaran tarif yang dikenakan Trump boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan global memandangkan rantaian bekalan moden kini saling berkait.
“Ketidaktentuan dasar perdagangan merupakan faktor utama di sebalik penurunan unjuran pertumbuhan tersebut berdasarkan keadaan semasa pada 4 April iaitu dua hari selepas pengumuman Trump mengenai pelaksanaan tarif berskala besarnya.
“Berhadapan dengan ketidaktentuan yang meningkat, reaksi awal kebanyakan firma adalah untuk menghentikan pelaburan, mengurangkan perbelanjaan dan menangguhkan pembelian,” katanya.
IMF turut menyatakan terdapat kebarangkalian sebanyak 40 peratus AS akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini, meningkat berbanding anggaran 25 peratus pada Oktober tahun lalu.