TUARAN: Penyanyi legenda Sabah, Datuk Francis Landong, bakal menggegarkan pentas Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 dengan penampilan khas yang dinanti-nantikan ramai. Acara tersebut akan berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Rabu depan (30 April).
Dikenali sebagai antara nama besar dalam industri muzik tempatan, Datuk Francis Landong telah memahat legasi melalui lagu-lagu ikonik seperti Hei Aramai Tie, Sebelum Kahwin, Fikir-Fikir Dulu, dan banyak lagi.
Suara emas beliau yang penuh emosi dan jiwa menjadikan setiap persembahan begitu bermakna, mencerminkan keindahan budaya serta warisan masyarakat Kadazandusun.
Kemunculan istimewa beliau dijangka menjadi tarikan utama pada malam final tersebut, sekaligus mengubat rindu peminat setia dan merancakkan suasana untuk para penggemar serta penggiat seni tempatan.
10 Finalis Bakal Berentap!
Selain persembahan istimewa Datuk Francis Landong, malam penuh warna itu turut menyaksikan persaingan sengit daripada 10 finalis Sugandoi Kaamatan yang bakal mempersembahkan bakat terbaik mereka untuk merebut gelaran juara.
Dua kategori lain iaitu Dazanak (Kanak-Kanak) dan Songkotoun (Veteran) juga menampilkan lima finalis masing-masing yang bersedia menghiburkan penonton dengan gaya tersendiri.
Ayuh Meriahkan!
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan acara, memberi sokongan kepada para peserta serta menikmati persembahan eksklusif daripada ikon seni Sabah ini.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan malam penuh gemilang ini—satu platform untuk meraikan semangat Kaamatan dengan penuh bangga dan rasa kekitaan.
Masuk adalah PERCUMA. Jumpa anda di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, pada 30 April 2025, bermula jam 5.00 petang hingga selesai.
































