LONDON: Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) Britain meluluskan penggunaan ubat yang membantu memperlahankan penyebaran jenis kanser payudara yang tidak boleh diubati.
Menurut Utusan Malaysia, para saintis menyifatkan kelulusan capivasertib oleh Institut Kecemerlangan Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan (NICE) sebagai ‘detik penting’.
Lebih 1,000 wanita dengan jenis kanser HR-positif HER2-negatif boleh mendapat manfaat daripada pengambilan pil dua kali sehari setiap tahun, kata NICE.
Ubat itu, yang juga dikenali sebagai Truqap dan dihasilkan oleh gergasi farmaseutikal Britain, AstraZeneca, membantu melambatkan atau menghentikan perkembangan kanser, bermakna pesakit boleh hidup lebih lama.
“Pesakit yang menghidap kanser payudara peringkat lanjut akan menghargai rawatan seperti capivasertib, terutama apabila pilihan rawatan semakin terhad dan ia mungkin dapat menangguhkan keperluan untuk kemoterapi serta kesan sampingan berkaitan,” kata Pengarah Penilaian Ubat-Ubatan NICE, Helen Knight.
Kanser payudara lanjutan melibatkan mutasi genetik tertentu dan boleh merebak dalam tisu payudara atau bahagian lain dalam badan.
Ubat dalam bentuk pil itu bertindak dengan menghalang tindakan protein tidak normal yang menyebabkan sel kanser merebak.
Keputusan daripada ujian klinikal menunjukkan gabungan capivasertib dan terapi hormon fulvestrant mampu memanjangkan tempoh sebelum kanser menjadi lebih teruk sebanyak kira-kira 4.2 bulan, berbanding dengan penggunaan plasebo serta fulvestrant sahaja.
NICE berkata, sebanyak 40,192 orang didiagnosis menghidap kanser payudara pada 2020, dengan hampir 15 peratus daripada mereka berada di peringkat lanjutan ketika penyakit itu dikesan.