Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Keputusan melantik Pengurus Besar Kumpulan (GGM) baharu SEDCO bukan satu kesilapan, malah satu langkah strategik untuk memastikan badan ekonomi negeri itu kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia yang semakin kompetitif
Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, polemik yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah perlu dilihat dengan lebih rasional dan berpandangan jauh.
“Adakah lebih penting memastikan jawatan hanya diisi oleh Bumiputra semata-mata, atau membina sistem tadbir urus yang dapat menjadikan SEDCO terus relevan dan berdaya saing?” soal Aksyah dalam kenyataannya.
Beliau berkata, tindakan Kerajaan ‘meminjam’ kepakaran luar merupakan satu bentuk inovasi yang wajib disokong dalam usaha membentuk kepimpinan transformasional serta membawa pembaharuan dalam pengurusan organisasi milik Kerajaan Negeri.
Aksyah juga mengingatkan bahawa kegagalan syarikat gergasi seperti NOKIA berpunca daripada ketandusan inovasi dan keengganan berubah mengikut zaman.
Katanya, Sabah tidak boleh mengulangi kesilapan tersebut jika ingin memastikan kemajuan ekonomi Bumiputra terus terjamin.
“Falsafah dan prinsip hanya bermakna jika disusuli dengan hasil. Tiada enakmen yang menetapkan lantikan hanya dari satu kaum – ia hanyalah pemahaman bersama, bukan undang-undang,” ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan Sabah sentiasa menghormati hak istimewa Bumiputra namun juga perlu berlaku adil kepada semua kaum yang menyumbang kepada pembangunan negeri ini. Sabah ialah sebuah negeri berbilang kaum dan setiap sumbangan wajar dihargai.
Aksyah berkata, GGM baharu tetap akan dipantau dan dinilai oleh Lembaga Pengarah SEDCO yang dipengerusikan oleh pemimpin Bumiputra. Malah, katanya, KPI telah ditetapkan untuk memastikan agenda sosioekonomi Bumiputra tidak terjejas.
“Hajiji bukan bertindak semberono. Beliau mahu semua GLC, termasuk SEDCO, menyumbang dividen kepada negeri dan membantu membasmi kemiskinan di kalangan rakyat, khususnya Bumiputra Sabah,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan wujud permainan politik dalam lantikan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah jangka panjang untuk menyediakan barisan pemimpin Bumiputra dalam SEDCO melalui proses peralihan ilmu dan pengalaman.
“Langkah ini merupakan proses ‘succession planning’ yang bijak dan terancang, bukan semata-mata lantikan mengejut atau mengabaikan bakat tempatan,” jelasnya lagi.
Aksyah menegaskan, kejayaan GGM baharu kelak akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah, bukan kepada individu tertentu. Baginya, sekiranya SEDCO berjaya dimajukan, keseluruhan masyarakat akan menikmati limpahan faedahnya.
Beliau meminta agar semua pihak berfikiran positif dan berhenti mempolitikkan perkara yang bersifat pentadbiran dan pengurusan. Katanya, rakyat perlu menyokong usaha luar kotak demi kebaikan jangka panjang.
“Jika ada kawan yang pandai, jangan bersaing – ajaklah berkawan,” kata Aksyah, memetik pantun yang turut disertakan dalam kenyataan beliau.
Beliau menyeru agar budaya membetulkan kebiasaan diteruskan demi kejayaan Halatuju Sabah Maju Jaya.
“Betulkan kebiasaan, biasakan yang betul,” katanya.


































