Anwar Ibrahim berucap merasmikan Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyesuaikan diri susulan pelaksanaan tarif timbal balik besar-besaran terhadap lebih 180 negara dengan kadar antara 10 hingga 50 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi kepelbagaian perdagangan oleh Malaysia ketika ini semakin meningkat.
Katanya, sejajar negara berhasrat untuk kekal sebagai rakan dagang yang teguh dengan AS, Malaysia juga akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk melindungi kepentingan ekonomi negara.
“Ini termasuk berinteraksi secara proaktif dengan AS untuk mencapai hasil yang saling menguntungkan dan pada masa yang sama mempelbagaikan serta mengukuhkan hubungan Malaysia dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh EU, Asia, Timur Tengah, dan Afrika,” katanya dalam Ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025, kelmarin.
Anwar berkata, Malaysia akan menghantar pihak berkaitan ke Washington bagi memulakan proses dialog berhubung pelaksanaan tarif berkenaan.
“Sebagai sebahagian daripada diplomasi, kita akan menghantar pegawai-pegawai ke Washington untuk memulakan proses dialog.
“Mungkin terdapat ruang yang terhad untuk mengkaji semula niat asas, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, negara ASEAN menonjol sebagai mercu harapan dan unsur positif selain masih komited secara menyeluruh terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi.
Jelasnya, jumlah dagangan barangan Malaysia kini berjumlah AS$3.5 trilion (RM16.6 trilion) namun bukan angka yang dapat memberi jaminan pada masa hadapan.
“Dengan gelombang tarif yang melanda dunia secara pantas dan agresif, kita sedang menyaksikan keretakan dalam sistem global. Oleh itu, ASEAN mesti lebih bergantung kepada dirinya sendiri.
“Ini bermakna kita perlu memperkukuh perdagangan intra-ASEAN. Kita mesti melangkaui retorik kepada pelaksanaan sebenar.
“Liberalisasi tarif dalam rantau ini sebahagian besarnya telah selesai, tetapi penyelarasan peraturan, logistik rentas sempadan, dan kesalinghubungan digital masih belum diselesaikan,” katanya.

































