Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Aksyah Haji Nasrah menyifatkan isu minit sokongan Ketua Menteri Sabah terhadap permohonan dokumen pengenalan diri pada tahun 2019 sebagai satu tindakan yang amat luar biasa dan tidak wajar dianggap sebagai perkara biasa dalam pentadbiran kerajaan.
Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/Perikatan Nasional (PN) Sabah itu berkata demikian dalam memberikan pandangan terhadap kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertarikh 7 April 2025 yang menjelaskan bahawa permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri adalah mengikut prosedur biasa, termasuk penilaian terhadap setiap permohonan berdasarkan undang-undang dan dasar yang berkuat kuasa.
“Memang benar kenyataan JPN adalah langkah tepat untuk menjernihkan persepsi rakyat dan memelihara integriti jabatan tersebut. Namun, yang menjadi persoalan besar ialah bagaimana seorang Ketua Menteri boleh menurunkan minit sokongan terhadap permohonan yang menyentuh isu kewarganegaraan – satu isu yang sangat sensitif dan bukan urusan pentadbiran biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aksyah, dokumen pengenalan diri yang dimaksudkan dalam isu ini bukan sekadar kad pengenalan biasa, tetapi merujuk secara langsung kepada dokumen rasmi yang mengiktiraf seseorang sebagai warganegara Malaysia.
Katanya, rakyat Sabah lazim menyebutnya secara ringkas sebagai “Kad Pengenalan”.
Beliau juga menjelaskan bahawa dalam amalan pentadbiran biasa, minit sokongan daripada pemimpin politik selalunya diberikan bagi permohonan berkaitan dana, kelulusan projek, atau kekosongan jawatan – bukan dalam isu sebesar permohonan kerakyatan yang memberi kesan langsung terhadap kedaulatan negara.
“Sokongan sebegini sangat luar biasa. Ini bukan isu permohonan jalan kampung atau program komuniti. Ini tentang pemberian status sebagai warganegara, yang membawa hak untuk mengundi dan memiliki segala keistimewaan rakyat Malaysia. Ia tidak boleh dianggap sebagai hal biasa,” tegas beliau.
Aksyah turut menyarankan agar mana-mana pemimpin tidak lagi mengamalkan pemberian minit sokongan dalam isu-isu melibatkan permohonan kewarganegaraan, sebaliknya membiarkan proses penilaian berjalan sepenuhnya melalui saluran dan prosedur sah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan JPN.
“Lebih baik pemohon diberi nasihat untuk terus berurusan dengan JPN tanpa sebarang campur tangan politik. Bukannya susah, jika mereka benar-benar layak, mereka tetap akan diluluskan melalui prosedur biasa. Tiada keperluan untuk minit sokongan,” tambah beliau.
Beliau juga memuji pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menurutnya tidak pernah terlibat dalam pemberian minit sokongan kepada permohonan dokumen pengenalan diri sepanjang pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak 2020.
“Saya amat bersyukur kerana di bawah pentadbiran GRS, kita belum mendengar sebarang kes minit sokongan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada individu tertentu. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap tadbir urus yang baik dan menghormati sensitiviti rakyat Sabah,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Aksyah menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan menuduh Kerajaan Negeri kononnya memberikan dokumen pengenalan diri kepada Pendatang Tanpa Izin (PATI) menerusi program SMART SABAH (SS).
“Tuduhan ini tidak masuk akal. SMART SABAH hanya berfungsi untuk mendata pekerja asing, bukan memberikan kewarganegaraan. Data ini penting untuk perancangan dasar buruh negeri dan negara. Tapi pembangkang sengaja mahu menghasut rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai mantan pemimpin dalam Kerajaan, beliau tidak pernah melihat atau mendengar mana-mana individu yang diberikan dokumen pengenalan diri oleh SMART SABAH, dan menyifatkan dakwaan pembangkang sebagai satu fitnah yang serius.
“Pembangkang perlu lebih bertanggungjawab. Belajarlah memahami fungsi sesebuah institusi sebelum menuduh sesuka hati. SMART SABAH ditubuhkan demi kepentingan rakyat dan keselamatan negeri, bukan untuk memberi IC kepada PATI seperti yang mereka dakwa,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Sabah supaya lebih bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dibawa oleh pembangkang, terutama Parti Warisan yang menurutnya semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
“Rakyat Sabah sudah boleh membaca niat sebenar di sebalik minit sokongan yang mereka berikan. Kononnya atas dasar kemanusiaan, tetapi hakikatnya lebih kepada kepentingan politik jangka panjang,” kata Aksyah.
Beliau menyeru agar semua pihak mengamalkan prinsip integriti dalam pentadbiran dan menjaga maruah serta kedaulatan negeri serta negara.
“Biasakan yang betul, betulkan kebiasaan!” tegasnya.


































