KOTA KINABALU: Dua nama besar dalam industri muzik Indonesia, kumpulan rock terkenal Kotak dan penyanyi berbakat Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello, bakal menggamatkan pentas Konsert 2 Dekade – Kotak X Ello – Live in Malaysia yang akan berlangsung di ITCC Ballroom, Penampang pada 14 Jun 2025, jam 8 malam.
Menurut penganjur utama, NS Show Connects Sdn Bhd, konsert ini dianjurkan bagi memperingati ulang tahun ke-20 penglibatan kedua-dua artis tersebut dalam industri muzik.
“Konsert ini merupakan acara istimewa yang menggabungkan dua ikon muzik Indonesia dalam satu pentas. Malaysia, khususnya Sabah, dipilih sebagai satu-satunya destinasi konsert di luar Indonesia. Kota Kinabalu diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah konsert bersejarah ini,” kata Alfian Basir, wakil NS Show Connects Sdn Bhd, dalam kenyataan media pada Selasa.
Tantri, vokalis utama kumpulan Kotak, turut menyatakan keterujaannya.
“Kami tidak sabar untuk bertemu dengan para peminat di Sabah. Konsert ini menjadi lebih bermakna kerana kami berkongsi pentas dengan Ello, seorang penyanyi yang sangat berbakat,” ujarnya.
Kotak, yang dianggotai oleh Tantri, Chua dan Cella, merupakan antara kumpulan rock paling berpengaruh di Indonesia. Mereka telah menghasilkan beberapa album yang menerima sambutan luar biasa serta memenangi pelbagai anugerah muzik, termasuk di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ello juga tidak kurang hebatnya. Dalam tempoh 20 tahun, beliau telah menghasilkan beberapa album yang diiktiraf secara meluas dan menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Muzik Indonesia. Kini, Ello turut dikenali sebagai salah seorang penyanyi utama bagi kumpulan rock legenda Indonesia, Dewa 19, sekali gus membuktikan kredibilitinya dalam dunia muzik tanah air.
Jualan tiket telah pun dibuka bermula Jumaat, 11 April 2025, jam 11 pagi melalui laman web rasmi Ticket2U (www.ticket2u.com.my), dengan pelbagai kategori tiket yang ditawarkan kepada para peminat.
Maklumat Konsert:
Nama Konsert: KONSERT 2 DEKADE – KOTAK X ELLO – LIVE IN MALAYSIA
Tarikh: Sabtu, 14 Jun 2025
Masa: 8:00 malam
Lokasi: ITCC Ballroom, ITCC Penampang, Kota Kinabalu, Sabah
Penganjur: NS Show Connects Sdn Bhd
Penganjur Bersama: ITCC Penampang
Kategori Tiket:
VIP A – Masih Ada (Tempat Duduk Bernombor): RM289
VIP B – Semangat Baru (Tempat Duduk Bernombor): RM289
ROCK ZONE – Beraksi (Berdiri): RM189
GENERAL STANDING – Masih Cinta (Berdiri): RM139
VIP Meet & Greet (Tambahan dengan pembelian tiket): RM99
































