TOKYO: Sekumpulan saintis berjaya menghasilkan pes miso di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), menjadikannya makanan pertama yang diperam di luar Bumi, sekali gus membuka potensi baharu dalam penerokaan angkasa lepas.
Menurut Utusan Malaysia, eksperimen yang dijalankan oleh pakar dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Universiti Teknologi Denmark itu bukan sahaja bertujuan memperluaskan pilihan makanan untuk angkasawan, tetapi juga menyelidik kemungkinan kehidupan boleh wujud di angkasa.
Maggie Coblentz dari MIT dan Joshua Evans dari Universiti Teknologi Denmark menghantar bekas kecil berisi pes kacang soya yang dimasak ke ISS pada Mac 2020, sebelum ia dihantar semula ke Bumi untuk dianalisis.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal iScience kelmarin, miso tersebut diperam dalam bekas khas yang dilengkapi sensor bagi memantau suhu, kelembapan relatif, tekanan serta radiasi.
Dua lagi sampel miso turut diperam di Cambridge, Amerika Syarikat dan Copenhagen, Denmark sebagai bahan perbandingan.
Evans yang merupakan ketua penyelidik berkata, eksperimen itu memberi gambaran bagaimana persekitaran di angkasa seperti mikrograviti dan radiasi tinggi boleh mempengaruhi pertumbuhan mikrob serta proses penapaian.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku kerana ini kali pertama fermentasi dijalankan di angkasa. Miso dari ISS lebih gelap dan kelihatan lebih bergoncang berbanding miso yang diperam di Bumi. Ini masuk akal kerana ia telah mengalami perjalanan yang lebih jauh,” katanya kepada CNN.
Beliau menjelaskan, kajian tersebut bukan sahaja boleh meningkatkan kesejahteraan dan prestasi angkasawan, tetapi juga membuka peluang kepada eksplorasi gastronomi serta kepelbagaian budaya dalam penerokaan angkasa lepas.
Miso merupakan makanan tradisional Jepun yang diperbuat daripada kacang soya yang direndam, air, garam dan koji (sejenis kulat), biasanya mengambil masa enam bulan untuk diperam sebelum menghasilkan rasa umami yang unik.
Kajian tentang penanaman makanan di angkasa bukanlah sesuatu yang baharu di mana sebelum ini, angkasawan ISS berjaya menanam pelbagai jenis sayuran seperti salad dan lobak, malah pada tahun 2021, mereka mengadakan parti taco untuk meraikan kejayaan menanam cili pertama di angkasa.


























